Menang, kalah… Teruskan sokongan! – Sani Anuar Kamsani

Sani Anuar Kamsani

Aksi cemerlang penjaga gol Pulau Pinang, Sani Anuar Kamsani nyata memukau lebih 15,000 penyokong Johor DT bila dia menyelamatkan empat cubaan berbahaya rangkaian serangan diketuai Juan Martin Lucero.

Mungkin rezeki tidak memihak kepada skuad Harimau Kumbang tetapi usaha bermati-matian yang ditunjukkan oleh anak-anak buah Manzoor Azwira layak dipuji sehingga mendapat pujian jurulatih JDT, Mario Gomez dan penyerangnya, Safee Sali.

Ditemui selepas perlawanan, Sani berharap apa yang mereka pamerkan mampu mengubah tanggapan mengenai Pulau Pinang selain mengharapkan sokongan padu peminat menjelang pertemuan hidup mati dengan Felda pada 18 Mei ini di Stadium Bandaraya.

“Pertama sekali, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang sanggup turun ke Larkin dari Pulau Pinang untuk memberi sokongan kepada kami. Saya berharap sokongan ini akan berterusan tidak kira ketika kami kalah atau menang dan juga saya berharap kami mampu meraih tiga mata apabila menentang Felda pada aksi terakhir di tempat sendiri.

Walaupun kami tewas, itu sahaja rezeki kami bila hanya dibolosi satu gol dan saya tetap rasa bangga dengan rakan-rakan sepasukan yang berjuang sehingga ke saat akhir perlawanan. Ini membuktikan Pulau Pinang masih ada kualiti tersendiri dan mampu bersaing dengan pasukan atasan liga,” katanya.

IMG-20160507-WA0036Hakikat sama dikongsi oleh pengurus Pulau Pinang, Mohd. Azizudin Mohd Shariff, yang tetap melihat kekalahan tipis itu ada hikmah tersendiri menjelang pertembungan dengan Felda.

Meletakkan keutamaan untuk layak ke Piala Malaysia, keyakinan sudah mula terpancar di minda pemain bagi memburu kemenangan pada perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super.

“Jika sebelum perlawanan dengan JDT, kami rasa bimbang bagaimana jurang pasukan ini dengan pasukan pilihan, namun selepas perlawanan tadi kami mula rasa positif untuk hadapi Felda iaitu aksi terakhir di Stadium Bandaraya sebelum kami ke Stadium Batu Kawan. Sekiranya kami (pihak pengurusan) tidak yakin, siapa lagi yang akan yakin dengan Pulau Pinang dan kami cukup optimis tiket ke Piala Malaysia akan jadi milik kami,” katanya.

Print