Moral kami cukup tinggi..! – Bacina

TTeamVsPP

Sekian lama menunggu, akhirnya debaran dan persoalan seluruh peminat setia Pulau Pinang akan terungkai iaitu adakah skuad Harimau Kumbang mampu bangkit di bawah sentuhan Bojan Hodak dan Nenad Bacina?

Dengan kehadiran dua pemain import dan tambanan satu tonggak tempatan, ramai berharap Pulau Pinang dapat beraksi lebih bertenaga pada baki sepuluh perlawanan terakhir.

Berkunjung ke Kuala Terengganu bertemu T-Team, ia akan menjadi ujian pertama buat Bacina selaku ketua jurulatih bagi memastikan perjuangan Pulau Pinang kekal di Liga Super tercapai.

Sudah melakukan segala-galanya, Bacina berkata, moral semua pemain berada di tahap cukup tinggi dan sudah tidak sabar untuk bertemu pasukan di tangga keempat Liga Super, T-Team.

_0049“Kita telah melakukan empat perlawanan persahabatan dan nampak banyak perubahan ketara dipamerkan oleh pemain secara keseluruhan. Mereka sudah mampu mengikuti taktikal seperti mana saya harapkan dan harap menjadi semasa di perlawanan sebenar.

Sekarang, moral mereka cukup tinggi dan saya gembira kerana ini beri satu petanda baik bahawa kami boleh lakukan sesuatu,” katanya.

Menurut Bacina, dia mensasarkan sekurang-kurangnya satu mata mampu dibawa pulang ke Pulau Pinang sebagai pembakar semangat.

“Kita tidak mahu tewas dalam pertemuan dengan T-Team, satu mata perlu diraih supaya peluang kita untuk keluar daripada zon penyingkiran makin cerah. Namun, kalau kita mampu menang.. saya akan anggap itu sebagai bonus dan pasti lebih baik kepada pasukan,” katanya.

Bacina juga memberi jaminan ketiga-tiga pemain baharu iaitu Jeong Seok-Min, Ranti Martins dan Farisham Ismail dijangka akan diturunkan.

“Berdasarkan keperluan pasukan, saya rasa kehadiran mereka bertiga cukup penting bagi memperbaiki kelemahan yang ada pada pasukan. Mungkin ketiadaan perlawanan persahabatan membuatkan ramai bimbang bagaimana prestasi serta keserasian mereka bersama pasukan tetapi saya yakin mereka semua telah bersedia,” katanya.

Pada aksi terakhir di Stadium Bandaraya pada 24 April lalu, Pulau Pinang tewas 2-3 menerusi jaringan terakhir Patrick Cruz pada minit 87.