Osas Saha harus buktikan! – Coach Jacksen

IMG-20160215-WA0004

Tamat jendela pintu pendaftaran perpindahan pemain pada 14 Februari lalu dan akhirnya Osas Marvelous Ikpefua jadi pilihan Jacksen F. Thiago sebagai pengganti Jose Tadeu yang digugurkan ekoran prestasi kurang memberangsangkan.

Walaupun ada keraguan disuarakan oleh sebahagian penyokong Pulau Pinang terhadap sejauh mana prestasi penyerang berusia 33 tahun ini terutama ketika bersama kelab terakhir, Sriwijaya, Jacksen ada alasan tersendiri mengambil Osas.

Sebagai jurulatih berpengalaman luas di Liga Indonesia, dia cukup kenali kemampuan Osas yang begitu menyerlah semasa di Semen Padang dan PSMS Medan.

Capture“Bagi saya yang pernah kenali dia dahulu, dia seorang pemain yang cukup kuat, rajin serta punyai kemampuan untuk jaringkan gol dengan cukup baik.

“Namun, apa sahaja yang saya pernah tahu dia sebelum ini, dia kena buktikan di sini kerana dengan suasana yang berbeza, sudah tentu satu tugas sukar buatnya cepat sesuaikan diri di sini.

“Harap dia mampu ulangi perkara sama seperti mana dia buat di Liga Indonesia, itu harapan saya untuknya di sini, “ katanya.

Osas merupakan pemain yang begitu cemerlang di awal kariernya kerana pernah menganggotai skuad Nigeria Bawah 17 dan 20 selain bermain dengan beberap kelab di Liga Belgium.

Harapan penyokong Pulau Pinang sudah pasti tinggi ekoran sejak dua musim lalu, penyerang import yang didatangkan gagal capai kriteria dimahukan malahan aksi pemain tempatan lebih menyakinkan.

Tumpas 0-1 kepada Terengganu pada Sabtu lalu pada perlawanan pembukaan Liga Super, Jacksen kekal tenang dan fokus untuk hadapi aksi kedua berdepan Pahang di Stadium Bandaraya.

Tambahnya, persiapan pasukan berjalan dengan lancar dan hanya satu perkara bimbangkan dirinya iaitu ketumpulan penyudah oleh jentera serangan.

“Satu pengajaran berguna ketika kami kalah kepada Terengganu ialah barisan penyerang kami tidak mampu selesaikan peluang terhidang di depan pintu gol lawan.

“Kami juga banyak biarkan lawan kuasai bahagian tengah seperti mana Gustavo Lopez menghukum pada perlawanan di Kuala Terengganu tempoh hari.

“Jadi menentang Pahang, saya mahukan mereka pamerkan aksi jauh lebih baik dan memungut tiga mata pada aksi pembukaan di laman sendiri, “ katanya.

Print