Harimau Kumbang buru 3 mata di laman sendiri.

Harimau Kumbang mengharapkan ‘magic’ dari sentuhan taktikal Zainal Abidin Hassan untuk mengutip tiga mata penuh di halaman sendiri bertemu dengan The Red Warrior (TRW), Sabtu ini.

Zainal Abidin Hassan, berkata mereka perlu berhati-hati dengan penyerang lincah TRW, Mohammed Ghaddar yang sering mengucar kacirkan barisan pertahanan lawan. “Bagi saya Ghaddar, Badhri Razi, Indra Putra perlu diberi perhatian oleh pemain Harimau Kumbang supaya tidak ada langsung percubaan gol daripada mereka. Walaupun kami menang keatas Felda United sebelum ini, itu tidak bermakna kami boleh bermain sambil lewa kerana TRW bermain dengan tempo permainan yang laju,” katanya.

Ketiaadan tiga pemain import utama dibarisan pertahanan pada perlawanan sebelum ini kerana mengalami kecederaan tidak merosakan percaturan Zainal. Dengan kembalinya Reinaldo Lobo yang telah pulih dari kecederaan pasti akan memperkuatkan kembali barisan pertahanan Harimau Kumbang.

“Dua perlawanan akhir pusingan pertama Liga Super merupakan misi hidup-mati bagi menempah slot ke Piala Malaysia. Saya yakin dan pasti pemain akan memberi 100 peratus tumpuan kepada perlawanan menentang Kelantan Sabtu ini dan Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu depan di Stadium Negeri Pulau Pinang (SNPP), Batu Kawan,” katanya.

Continue reading

Harimau Kumbang buru 3 mata di laman sendiri.”

Kemenangan ke atas Felda United kini sejarah.

Ketua jurulatih pasukan Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan menggesa semua pemain supaya kekal fokus untuk perlawanan Sabtu ini berdepan Kelantan di laman sendiri dan menganggap kemenangan menentang Felda United tempoh hari kini sejarah.

Pulau Pinang sememangnya sangat memerlukan mata bagi memperbaiki kedudukan di dalam Liga dan kejayaan menewaskan Felda United pasti menaikkan semangat kesemua pemain. Anak didik Zainal Abidin Hassan yang mempamirkan aksi terpuji tempoh hari tampak semakin bersemangat dan mula berada di landasan sebenar.

Zainal juga menyeru kepada semua penyokong setia Harimau Kumbang untuk turun dan memenuhi Stadium Negeri Pulau Pinang hujung minggu ini kerana sokongan dari “Pemain ke 12” pasti akan memberi impak yang luar biasa kepada pemain.

Rencana dan ramuan untuk menentang pasukan yang ketika ini berada di tangga keenam Liga pasti lebih teliti dengan kehadiran semula beberapa tonggak utama yang tidak dapat beraksi sebelum ini. Pulau Pinang masih menjadi penghuni di dasar liga dengan 5 mata tetapi ianya mungkin berubah jika pasukan mencapai keputusan positif Sabtu ini.

Pulau Pinang menerima tajaan ‘Dry Bag’.

Pasukan Pulau Pinang menerima tajaan ‘Dry Bag’ dari syarikat artCamper. artCamper adalah syarikat Malaysia yang memasarkan ‘Dry Bag’ dan semua reka bentuk dihasilkan di negara Malaysia.

Semua produk artCamper dijamin dan dihasilkan dengan bahan yang berkualiti tinggi. artCamper juga akan memasarkan ‘Dry Bag’ ISTIMEWA FA PENANG dan dijangka akan berada di pasaran dalam masa terdekat.

Program Amal Bersama Rumah Kebajikan
Anak Yatim (L) Pulau Pinang.

Pada malam 1hb April 2017, berlangsung satu program amal Persatuan Bolasepak Pulau Pinang bersama Rumah Kebajikan Anak Yatim Lelaki, Pulau Pinang. Pemain dan juga Presiden FAP, YB Zairil Khir Johari sempat menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama anak-anak yatim dan makan malam bersama.

Mereka juga turut menerima “Dry Bag” setiap seorang sumbangan dari ArtCamper yang turut menaja pasukan Pulau Pinang.

Semoga cepat sembuh..!

Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang, YB Zairil Khir Johari, Setiausaha Eksekutif, Mohd Asyraf Yusof bersama beberapa orang Ahli Majlis FAP dan pihak pengurusan sempat meluangkan masa melawat dua orang pemain Piala Presiden Pulau Pinang yang terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa hari lalu.

Presiden sendiri ingin memastikan yang mereka diberi rawatan yang terbaik agar dapat kembali pulih dan beraksi semula. Kedua-dua mereka sedang dirawat di Hospital Lam Wah Ee, Pulau Pinang.

    

Zainal Abidin Hassan kini Harimau Kumbang.

Zainal Abidin Hassan, bekas jurulatih Selangor sah menjadi ketua jurulatih baharu skuad Harimau Kumbang. Zainal dilantik secara rasmi bagi menggantikan tempat Ashley Westwood yang ditamatkan perkhidmatannya selepas 8 perlawanan Liga Super musim ini.

Ketua jurulatih baharu Harimau Kumbang, Zainal Abidin Hassan berkata akan menggalas tanggungjawab ini dengan sepenuh hati untuk membimbing pasukan sehingga berjaya. “Saya berjanji akan memberikan yang terbaik untuk pasukan dan penyokong Pulau Pinang. Tugasan berat untuk saya, tetapi saya yakin dengan pemain Harimau Kumbang kerana saya mengikuti perkembangan mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, Zainal akan mengenal pasti setiap kelemahan pemain bagi memastikan akan ada rencah baharu yang akan diterapkan dalam skuad Harimau Kumbang. “Saya tidak mempunyai kuasa ‘magic’ tetapi berkebolehan untuk membimbing pasukan dan ianya pasti memerlukan sedikit masa,” katanya.

Presiden FAP, Zairil Khir Johari berkata amat gembira dengan kehadiran Zainal Abidin bersama pasukan yang mempunyai pengalaman yang luas dalam arena bolasepak Malaysia. “Saya yakin pemain Harimau Kumbang memang mempunyai kemahiran dan berkebolehan tetapi memerlukan sedikit motivasi dan inspirasi untuk menentukan hala tuju pemain. Dengan kehadiran Zainal Abidin, saya percaya kita telah menemui ketua jurulatih yang berpengalaman dan mampu memulihkan semangat pemain seterusnya kekal dalam Liga Super untuk musim hadapan,” katanya.

Zainal Abidin Hassan berada di United Kingdom selama tiga bulan, menimba pengalaman bersama Cardiff City. Kerajaan negeri juga mengumumkan dana tambahan sebanyak RM3 juta kepada FAP untuk menyuntik semangat pasukan.

Penamatan kontrak Ashley Westwood

KENYATAAN MEDIA
Penamatan kontrak Ashley Westwood sebagai Ketua Jurulatih Pulau Pinang.

Ekoran perbincangan bersama Ketua Jurulatih pasukan Liga Super Pulau Pinang,Ashley Westwood, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) telah mencapai kata sepakat berhubung perkhidmatan beliau. Justeru, Westwood bersetuju untuk menamatkan perkhidmatannya serta melepaskan jawatannya sebagai Ketua Jurulatih dengan berkuatkuasa serta merta.

Saya bagi pihak FAP merakamkan penghargaan atas khidmat dan usaha beliau selama berada dengan pasukan Pulau Pinang.
Bagi mengisi kekosongan ini buat sementara, pihak FAP bersetuju untuk melantik Darren Read, Pembantu Ketua Jurulatih, bagi memangku jawatan tersebut.

Sehubungan dengan itu juga, pihak FAP akan mengumumkan pelantikan Ketua Jurulatih yang baharu dalam masa yang terdekat ini.

Zairil Khir Johari
Presiden
Persatuan Bolasepak Pulau Pinang
George Town | 19 Mac 2017