Pemain belum panas – Jacksen F. Tiago

 

Jacksen‘Jangan cemas’… Itu peringatan jurulatih, Jacksen F. Tiago, kepada penyokong- penyokong setia Pulau Pinang yang cukup gusar selepas kekalahan 1-3 kepada pasukan dari Liga FAM, Felcra FC pada aksi persahabatan sulung 2016 di Stadium Olahraga USM.

Mesej diberi Jacksen itu berdasarkan dua faktor iaitu, pemain berada dalam fasa membina kecergasan dan beberapa muka baharu terutama import masih sedang cuba cipta keserasian dengan pemain lama.

Baginya, keputusan itu ada hikmah tersendiri kerana masih ada kira-kira satu bulan memperbaiki segala kelemahan yang terhidang sebelum ujian sebenar di Liga Super.

“Saya akur kekecewaan penyokong Pulau Pinang dalam menerima kekalahan ini kerana mereka sudah tentu amat harapkan kemenangan.

“Namun, ini hanya satu perlawanan persahabatan yang jadi medan mengukur sejauh mana kelemahan ada dalam pasukan dan ia terbukti bila nampak banyak ruang kosong antara pertahanan dan tengah bila lawan menyerang.

“Selain itu, mungkin ramai tidak sedar kebanyakan pemain sebenarnya belum 100 peratus berada di tahap kecergasan dimahukan dan mungkin selepas satu atau dua perlawanan, mereka benar-benar bersedia, ” katanya.

ZAN_9382aJaringan tunggal Pulau Pinang dicipta oleh penyerang import baharu, Jose Tadeu melalui sepakan penalti pada minit ke-19 tetapi prestasi yang dipamerkan sepanjang permainan ternyata masih di bawah tahap sebenar.

Hanya sebahagian kecil pemain memberikan prestasi terbaik seperti Reinaldo Lobo, Mohd. Faizat Ghazli, Mafry Balang dan Mohd. Rafiuddin Roddin.RR

Mengulas pemain yang jalani pemilihan skuad Bawah 22 tahun, Jacksen berharap mampu gunakan Mohd. Jafri Chew dan S. Kumaahran pada dua lagi aksi persahabatan yang dijadualkan iaitu PKNS dan Kuala Lumpur.

“Jika mereka sempat balik pada perlawanan dengan PKNS, saya akan gunakan mereka sekiranya tidak ada sebarang kecederaan, jika tidak, mungkin aksi bertemu Kuala Lumpur.

“Penting saya lihat sejauh mana kemampuan mereka supaya dapat memilih yang terbaik untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

“Selain itu, kehadiran pemain muda pastinya cukup berguna kerana mereka boleh membantu pasukan sama ada dalam situasi bertahan atau menyerang, ” katanya.

Print