Pemain Import Dalam Perhatian

Tewas 1-0 kepada Sabah bukan bermakna dunia sudah berakhir buat Pulau Pinang dalam memburu kejuaraan Liga Perdana biarpun rekod tanpa kalah akhirnya lebur jua selepas tujuh perlawanan.

Walaupun begitu, itu bukan bermakna pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) berpuas hati dengan apa yang berlaku apabila Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff, mengakui mereka sedang menilai prestasi beberapa pemain import yang gagal mencipta impak positif terutama di bahagian serangan.

Malahan, beliau tidak menolak akan ada kejutan sebelum pintu pendaftaran pemain ditutup namun semuanya bergantung kepada perbincangan dengan pihak kejurulatihan yang akan membentang prestasi pemain secara keseluruhan.

“Kekalahan di tangan Sabah memang sesuatu yang mengecewakan kerana saya harap kami dapat membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

“Aksi beberapa import pada perlawanan semalam memang mengecewakan dan saya akan bertanyakan jurulatih akan hal ini.

“Mereka telah banyak kali diberi peluang namun mereka masih gagal memberi aksi yang diharapkan, jadi kami akan mengkaji sepenuhnya sama ada mereka ini layak dikekalkan atau mencari pemain baharu, ” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Bola Sepak Likas, semalam.

Pada perlawanan berdepan Sabah, Lee Gil Hoon dikeluarkan sebaik separuh masa kedua apabila gagal mencipta impak manakala Alberto Goncalves Da Costa, masih tercari-cari sentuhan pemusnah.

Eamon Zayed muncul pemusnah Pulau Pinang apabila menyempurnakan hantaran Joel Chianese pada minit ke-27 malahan pasukan pelawat bernasib baik kerana beberapa peluang keemasan yang dimiliki skuad The Rhinos disia-siakan begitu sahaja.

Chianese terlepas dua peluang terbaik apabila percubaannya di dalam kotak penalti melepasi palang gol pada babak pertama.

Pintu perpindahan pemain kali kedua yang dibuka pada 1 April lalu akan ditutup pada 28 April ini dan terhad kepada tiga pemain import serta tiga pemain tempatan sahaja namun bagi pemain import, mereka tidak dibenarkan bertukar pasukan dalam saingan Liga Malaysia.

Sementara itu jurulatih Pulau Pinang, Jacksen F. Tiago, mengakui, dia akan berbincang pihak pengurusan terhadap prestasi pemain import namun masih terlalu awal untuk mengatakan sama ada terdapat rombakan atau sebaliknya.

“Saya tahu ramai suarakan prestasi pemain import dan saya akan bawa hal ini ke pihak atasan, hanya mereka sahaja boleh bagi kata putus dalam hal ini.

“Apabila tewas malam ini, saya tidak nafikan begitu ramai kecewa dan emosi kami kurang stabil apabila membicarakan sesuatu, jadi tidak sesuai untuk berkata perkara-perkara sebegini apabila kalah.

“Mungkin kami akan mengambil sedikit masa sebelum membuat keputusan muktamad tetapi sudah pasti tidak boleh terlalu lama kerana masa untuk mendaftarkan pemain baharu, semakin suntuk, ” katanya.

Print

Start a Conversation

Your email address will not be published. Required fields are marked *