Perjuangan akan diteruskan, belum masa kibar bendera putih!

DSC_0530

Segalanya tampak mustahil buat Pulau Pinang melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia selepas gagal memungut sebarang mata pada pertemuan dengan T-Team.

Dua lagi baki perlawanan bertemu juara bertahan Liga Super, Johor DT di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin dan pendahulu liga, Felda United memungkinkan impian memungut sebarang mata tidak akan kesampaian.

Sementara pencabar terdekat, Sarawak yang berada di anak tangga terakhir, bertandang ke Kuala Terengganu menentang Terengganu sebelum menutup pusingan pertama Liga Super dengan berdepan Perak di Stadium Negeri.

Bagaimanapun pengurus pasukan, Mohd. Azizudin Mohd. Sharif, tidak mahu mengibar bendera putih selagi peluang belum tertutup sepenuhnya buat pasukan.

Baginya, selagi masih ada ruang mengutip mata, skuad Harimau Kumbang akan cuba sedaya upaya walaupun di atas kertas ramai memperkatakan ianya mustahil buat mereka meraih kejutan.

“Memang semua rasakan peluang kami untuk layak tipis sebaik kalah kepada T-Team tambahan beraksi di laman sendiri tetapi sebagai pengurus, saya tidak mahu pemain cepat mengaku kalah. Masih ada dua perlawanan dan biarpun salah satunya di Larkin, kami akan ukur baju di badan sendiri untuk cuba memberi tentangan sengit kepada lawan.

Kami tidak meletakkan apa-apa sasaran spesifik seperti mahu meraih mata atau sebagainya, cukup saya mahu pasukan beri tentangan hebat pada perlawanan itu nanti. Mungkin paling realistik buat kami ialah mendapat kemenangan semasa bertemu Felda di tempat sendiri, itu sahaja peluang kami untuk melayakkan diri ke Piala Malaysia,” katanya.

DSC_0087Berdasarkan format terbaharu Piala Malaysia, sebelas pasukan teratas selepas berakhir pusingan pertama Liga Super akan layak diiringi lima pasukan terbaik Liga Perdana.

Situasi terkini tampak berbahaya buat Pulau Pinang kerana hanya mampu mencatat satu kemenangan tunggal ke atas Pahang dan tewas dalam lima perlawanan.

Menurut Azizudin, mereka perlu pertimbangkan banyak perkara termasuk perancangan jurulatih dengan keutamaan diberi untuk mempertajamkan bahagian serangan.

“Sekurang-kurangnya satu atau dua pemain import pasti digugurkan, kalau boleh kami mahu mendapatkan pemain di posisi serangan kerana bahagian serangan kita jelas tampak terlalu tumpul pada ketika ini. Itu sahaja yang jadi medan pemisah buat pasukan walaupun daripada segi permainan, kami sebenarnya mampu memberi saingan. Siapa calon pemain import yang akan digugurkan belum boleh diberitahu lagi kerana kami masih ada baki dua perlawanan untuk lengkapkan pusingan pertama liga, biar kita fokus di situ terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, keputusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) akan diputuskan sebaik sahaja aksi Liga Super menentang Felda United pada 18 Mei depan di Stadium Bandaraya.

Print