Pertukaran Formasi Beri Pulangan

Tindakan berani jurulatih Pulau Pinang, Jacksen F. Tiago, yang menukar formasi daripada 4-2-3-1 kepada 4-4-2 ternyata memberi pulangan berbaloi apabila kemenangan selesa 3-0 berjaya dicatat ke atas JDT II di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Jumaat lalu.

Percaturan meletakkan Mohd. Azrul Ahmad di bahagian tengah di samping Faiz Subri mengepalai jentera serangan dilihat tepat dan kemenangan itu seperti memberi satu nafas baharu terhadap perjuangan Pulau Pinang dalam mengejar dua slot teratas ke Liga Super.

Menurut penolong pengurus Pulau Pinang, Mohd. Nazim Ariff Nazir Ariff, selain penggunaan formasi baharu, dia melontarkan pujian kepada pemain-pemain tempatan yang menampilkan semangat juang mengagumkan.

Tambahnya, ketiadaan dua pemain import, Alberto Goncalves dan Lee Gil Hoon, langsung tidak memberikan sebarang masalah selepas apa ditampilkan oleh mereka dalam tempoh 90 minit.

“Memang satu kelegaan apabila sudah empat perlawanan terakhir kami tidak menang, akhirnya kami berjaya juga mendapat tiga mata penuh dan paling menarik, di tempat lawan.

“Syabas saya ucapkan kepada semua pemain walaupun kami hanya turun dengan dua pemain import tetapi pemain tempatan berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik sekali.

“Kepada Jacksen, risikonya menukar formasi memang satu tindakan bijak dan saya harap moralnya kembali pulih dalam membimbing pasukan ini sehingga penghujung musim.

Skuad Harimau Kumbang mendahului dengan kelebihan satu jaringan melalui Hilton Moreira pada minit ke-25 sebelum pemain import dari Brazil itu menggandakan kelebihan pada minit ke-67 hasil sepakan bebas di luar kotak penalti.

Bekas pemain JDT II, Mohd. Azinee Taib, memastikan tiga mata mutlak menjadi milik Pulau Pinang apabila melakukan rembatan jarak jauh yang menarik bagi meletakkan skuad Harimau Kumbang kini memungut 33 mata.

Sementara itu, Nazim berkata, Pulau Pinang tiada pilihan lain kecuali menang dalam empat baki perlawanan dengan tiga daripadanya bermain di laman sendiri(NS Matrix, Sabah, DRB Hicom FC) manakala aksi terakhir membabitkan pertemuan menentang UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

“Kemenangan ini kembali meniupkan semangat kami mengejar kedudukan Kedah dan T-Team, masih ada empat perlawanan dan belum terlewat jika kami menjelmakan kebangkitan pada masa sekarang.

“Tanpa melupakan cabaran PKNS, saya harap pemain dan pihak pengurusan kekal tenang melalui peringkat yang paling kritikal dalam saingan Liga Perdana, ” katanya.

Print