Pulau Pinang Cepat Sejuk?

Tiap kali liga atau kejohanan berehat, Pulau Pinang pasti kembali bergelut mendapat keputusan terbaik dan ia terbukti sepanjang musim ini.

Jika sebelum ini tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur pada saingan Liga Perdana selepas berehat selama sebulan dan 0-3 di tangan PKNS di aksi pembukaan Piala Malaysia,masalah sama kembali berterusan.

Walaupun cemerlang menewaskan Pahang 4-1 di Stadium Bandaraya, mereka rebah di laman sendiri 2-3 kepada PDRM, Sabtu lalu.

Persoalannya, adakah benar Pulau Pinang pasukan yang cepat sejuk bila berehat panjang tanpa sebarang aksi kompetitif?

Jurulatih Pulau Pinang, Jacksen F. Tiago, menafikan sindrom itu melanda pasukan sebaliknya pertahankan aksi dengan PDRM tiada cacat celanya.

Kekalahan itu hanya berpunca daripada satu masalah iaitu sikap terlalu yakin yang membuka ruang kepada lawan dapatkan dua jaringan pada 15 minit permainan.

” Kami bukan pasukan yang bermasalah dapatkan prestasi bila berehat panjang dan sesiapa yang menonton perlawanan tahu kami yang banyak kuasai permainan.

” Cuma silapnya dua gol awal itu yang rentap semangat kami, saya rasa pemain mungkin melangkah masuk dengan sikap begitu yakin kerana mampu menang dengan Pahang sebelum ini.

” Namun kalau cakap kami pernah bermain buruk selepas berehat panjang, saya mungkin setuju pada aksi dengan Kuala Lumpur.

“Itu memang prestasi terburuk kami sepanjang musim ini dan saya tidak boleh lupakan sampai hari ini,” katanya.

Sedar sebarang kekalahan akan rencat peluang Pulau Pinang ke suku akhir, Jacksen sedia lakukan segala perjudian dalam hadapi PKNS dan Pahang.

Bakal buat sedikit rombakan setelah melihat apa terjadi ketika tewas kepada PDRM, dia akui bukan mudah untuk kalahkan PKNS yang sedang berada prestasi terbaik.

” PKNS memang sebuah pasukan yang perlu diberi perhatian pada masa sekarang kerana begitu konsisten dalam saingan kali ini.

” Patrick Ronaldinho dan Gabriel Guerra merupakan dua kunci utama PKNS, selain ada beberapa tempatan yang makin meningkat persembahan mereka,” katanya.