Pulau Pinang fokus buru 3 mata di Kuching.

Lupakan kemenangan dengan Pahang kerana ianya kini sejarah, pemain harus terus fokus pada perlawanan Sabtu depan menentang Sarawak di Kuching. Itulah pesanan ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan kepada anak buahnya di dalam bilik persalinan sebaik sahaja Pulau Pinang berjaya memungut 3 mata penuh Rabu lalu.

“Kesemua pemain menggalas tanggungjawab dengan baik pada perlawanan menentang Pahang dan menunjukkan sikap yang sangat terpuji. Bertemu Pahang bukanlah satu lawan yang mudah, tetapi mereka telah membuktikan apabila mereka berusaha dan tidak berputus asa, mereka mampu melakar kejayaan.

Lebih manis apabila ini adalah kemenangan pertama di hadapan penyokong Harimau Kumbang sendiri. Terima kasih kepada semua penyokong Harimau Kumbang yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukan dan semestinya ini akan terus membakar semangat kesemua pemain,” katanya.

“Kesemua pemain harus bekerja keras dan mengejar kemenangan pada baki perlawanan yang ada. Selagi peluang masih belum tertutup, kami akan terus berjuang sehingga ke saat akhir bagi memastikan Pulau Pinang terus kekal di dalam saingan Liga Super pada musim hadapan,” katanya.

Print