Pulau Pinang Kembali ke Liga Super

Kalau dah rezeki,  sudah pasti tidak ke mana… Air mata dan sorakan kejayaan kira-kira 400 penyokong setia Pulau Pinang dan pemain mengiringi kejayaan skuad Harimau Kumbang ke Liga Super sebaik aksi di Stadium Hang Jebat,berakhir.

Perkhabaran kekalahan 1-2 T-Team kepada Kuantan FA melengkapkan hari penuh bermakna buat sejarah bola sepak Pulau Pinang selepas lima tahun tidak beraksi di Liga Super.

Kemenangan 2-0 hasil jaringan Azinee Taib pada minit kesembilan disusuli Hilton Moreira, minit ke-81, sudah cukup memadai buat anak-anak buah Jacksen F.Tiago memintas kedudukan T- Team di tangga kedua.

Tiada sebarang perkataan mampu menterjemahkan perasaan Jacksen apabila mengakui rasa lega melakar sesuatu yang mustahil selepas ketinggalan empat mata di belakang T- Team dalam baki empat perlawanan.

“Walaupun ramai tidak meletak harapan terlalu tinggi kepada kami setelah kalah kepada Kuala Lumpur pada mulanya, semangat pemain-pemain berjaya mengatasi sesuatu yang mustahil.

” Sebaik kami mengikat Kedah dengan keputusan seri tanpa jaringan, saya ada beritahu kepada pemain yang kita mampu melakukannya setelah perubahan taktikal dilakukan.

“Itu menjadi kunci mengapa kami boleh menang dalam lima perlawanan berturut-turut dalam aksi terakhir dan memintas T-Team pada hari terakhir.

” Satu perkara yang saya boleh perkatakan, tiada sesiapa yang lebih besar daripada pasukan dan itu menjadi rahsia kekuatan kami,” katanya.

Antara perubahan yang penuh risiko dibuat oleh Jacksen ialah mengubah formasi permainan kepada 4-2-3-1 kepada 4-4-2 dengan meletakkan Mohd.Azrul Ahmad beraksi di posisi tengah.

Selain itu, dua pemain import, Lee Gil Hoon dan Alberto Goncalves Da Costa tidak disenaraikan semenjak tewas kepada Kuala Lumpur.

Bergantung sepenuhnya pada kudrat dua pemain tempatan, Faiz Subri dan Mohd. Azinee Taib selain dibantu Hilton, Pulau Pinang tidak lagi menoleh ke belakang.

Mengenai Piala Malaysia, Jacksen enggan memikirkan perkara berkenaan kerana mahu berehat sehingga penghujung bulan ini.

” Saya belum fikirkan sebarang sasaran untuk saingan Piala Malaysia kerana mahu meraikan kejayaan ini bersama pemain.

“Mereka diberi rehat sebelum Piala Malaysia bermula 11 September dan sebaik memulakan latihan nanti, mungkin saya akan tengok sejauh mana kami boleh capai,” katanya.

Pada musim lalu, Pulau Pinang terkandas di peringkat kumpulan dan sekadar menang satu perlawanan mengatasi ATM.

Print