Pulau Pinang Layak Ke Perlawanan Akhir Piala Presiden 2015

11875224_884816678254022_2410332918298452563_o

Kuala Lumpur –  Sinnathamby Veloo berjaya merealisasikan hasrat untuk membawa pasukan Pulau Pinang ke perlawanan akhir saingan Piala Presiden 2015 bersama-sama pemainnya apabila berjaya mengekang pasukan tuan rumah PDRM dengan keputusan 1 – 1 dan seterusnya layak dengan agregat 2 – 1 di Padang Pulapol, Kuala Lumpur dalam perlawanan petang tadi.

“Hari yang paling mengembirakan dan bersejarah apabila kembali mendapat peluang ke perlawanan akhir selepas 11 tahun menunggu, bukan tugas mudah kerana pelbagai rintangan perlu dilalui bersama-sama pasukan sepanjang musim ini. Kejayaan ini adalah hadiah untuk penyokong-penyokong pasukan Pulau Pinang dan seterusnya kepada semua rakyat Pulau Pinang”. kata beliau selepas tamat perlawanan tadi.

Pulau Pinang yang berjaya mengekang asakan lawan pada babak pertama, mula mengatur langkah pada babak kedua untuk mencari gol “selamat” dengan melakukan asakan sebaik babak kedua bermula.

Usaha mereka untuk mencari gol awal di babak kedua berhasil apabila gerakan awal yang dilakukan oleh Som Keat kepada Mohd Faisal yang melakukan hantaran lintang berjaya disudahkan oleh Lim Yong Sheng yang berani melakukan tandukan terbang walaupun di asak oleh pertahanan lawan pada minit ke -51.

Pasukan PDRM yang mula tertekan dengan agregat 2 gol yang berpihak kepada pasukan Pulau Pinang mula menampilkan aksi keras bagi menggangu rentak permainan pasukan Pulau Pinang berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-68 hasil jaringan Osman Damanhuri.

Kekasaran demi kekasaran yang dilakukan ke atas pemain Pulau Pinang akhirnya membawa padah kepada PDRM apabila Mohd Syauki dilayangkan kad merah pada minit ke-76 dan pada minit ke-85 PDRM kehilangan seorang lagi pemain apabila penjaga golnya iaitu Firman Zamri juga telah dilayangkan kad merah.

Kekuatan mental pemain dan peranan S Veloo menyusun taktikal serta memberi arahan sepanjang perlawanan berjaya mengekalkan kedudukan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kejayaan ini juga diraikan bersama Presiden, Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang iaitu Dato, Seri Nazir Ariff yang meluangkan masa untuk bersama-sama pasukan menyaksikan perlawanan petang tadi. Kehadiran beliau juga memberi tonik semangat kepada barisan pemain untuk bermain dengan penuh semangat.

Pulau Pinang akan menentang pasukan Kelantan dalam perlawanan akhir pada 22 Ogos 2015. Lokasi perlawanan akhir akan ditetapkan pada esok hari dan Pulau Pinang juga ada membuat permohonan rasmi untuk menjadikan Stadium Bandaraya sebagai gelanggang untuk perlawanan akhir tersebut.

Tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat dengan pasukan Piala Presiden 2015!

Berikan yang terbaik dalam perlawanan akhir nanti, harapan seterusnya adalah untuk membawa pasukan Pulau Pinang menjadi Juara Piala Presiden 2015!

Haria Penang Haria!

Print