Remezey sedia sekat bekas majikan

Menjadi pilihan terakhir diturunkan ketika menentang Pahang pada minggu lalu, siapa sangka Mohd. Remezey Che Ros tampil antara watak penting membantu kemenangan Pulau Pinang.

Walaupun Sani Anuar Kamsani dilaporkan telah hampir pulih, tempat Remezey selaku penjaga gol utama masih terjamin untuk berdepan PKNS di Stadium Selayang.

Seperti satu kebetulan, dia akan berjumpa kembali bekas majikannya musim lalu dan Remezey akui tiada sebarang perasaan sentimental bila bertemu PKNS.

” Memang rasa satu kegembiraan yang sukar digambarkan bila dapat beraksi baik pada perlawanan dengan Pahang tempoh hari kerana dah lama menanti peluang.

” Keyakinan saya ternyata kembali melonjak tinggi dan semakin tidak sabar jika diturunkan sekali lagi apatah dengan pasukan lama, PKNS.

” Memang akan jadi satu perlawanan yang menarik dengan PKNS kerana kami memang mahu membalas dendam atas kekalahan 0-3 pada perlawanan pertama.

” Sama ada jurulatih akan memilih saya atau penjaga gol lain, itu terpulang pada mereka cuma harap aksi dengan Pahang akan buka peluang sekali lagi untuk saya beraksi,” katanya.

Remezey bekas penjaga gol Pahang dan Kuala Lumpur sebelum ke PKNS, menyekat hajat Pahang pada perlawanan 26 September lalu dengan tangkas selamatkan tiga percubaan berbahaya Dickson Nwakaeme.

Ketika masa depannya bersama Pulau Pinang menjadi persoalan, Remezey tetap berharap jodoh dengan skuad Harimau Kumbang akan kekal berpanjangan.

” Saya belum pasti akan kekal dengan pasukan musim depan atau tidak kerana buat masa ini belum ada petanda jelas daripada pengurusan.

” Namun, perkara itu tidak jejaskan fokus saya dan mahu sekurang-kurangnya beri terbaik buat Pulau Pinang sehingga berakhir saingan Piala Malaysia.

” Saya seorang yang optimis, jika bermain sepenuh hati dan konsisten, rezeki pasti akan datang,” katanya.

Print