Risau gawang kerap bocor – Azrul Ahmad

Azrul Ahmad

Menjadi antara pemain yang beraksi dalam keempat-empat perlawanan dilalui Pulau Pinang setakat ini, Azrul Ahmad masih belum berpuas hati dengan apa di lalui pasukannya.

Masih terdapat banyak kelemahan perlu diperbaiki menjelang pertemuan menentang Perak, Selasa ini di laman sendiri, Azrul yang mesra disapa dengan panggilan ‘Cipeng’ berharap tiga mata mampu dijelmakan untuk kukuhkan kedudukan Pulau Pinang dalam Liga Super.

Menurut Azrul, aspek bertahan jadi masalah paling utama buat pasukan dan dia harap aksi bertemu Perak bakal jadi perlawanan pertama gawang Pulau Pinang tidak bocor selepas 90 minit.

“Di bahagian serangan, saya rasa pasukan Pulau Pinang antara yang tertinggi berbanding semua pasukan di Liga Super cuma pertahanan kami mesti bocor dalam tiap perlawanan. Jurulatih, Jacksen Tiago pasti akan rencanakan sesuatu agar kami boleh perbaiki kelemahan terutamanya yang berlaku semasa menentang PDRM di Stadium Hang Jebat, baharu ini._MG_9013

Sudah tentu saya harap diturunkan oleh Jacksen namun segala-galanya berdasarkan perancangan taktikal, jika saya terpilih…azam saya mahu bantu barisan pertahanan serta penjaga gol daripada dibolosi,” katanya.

Berdepan Perak, kelebihan nyata mampu menjadi milik Pulau Pinang kerana pasukan lawan sudah tidak menjaringkan sebarang gol dalam tempoh 270 minit pada tiga aksi Liga Super.

Ditambah masalah kecederaan menimpa Perak, skuad kendalian Jacksen perlu ambil kesempatan terhidang bagi memungut tiga mata di depan penyokong setia Pulau Pinang.

Namun, pemain berusia 30 tahun itu menegaskan faktor yang berlaku kepada Perak tidak boleh diambil kira kerana tiap perlawanan pasti berbeza.

“Apa yang berlaku kepada Perak, semua orang tahu tetapi saya tidak mahu fikirkan itu sangat kerana lawan punyai ramai pemain muda berkualiti. Kami pernah berdepan mereka sebelum ini dalam perlawanan persahabatan, apa yang saya boleh perkatakan mereka sebuah pasukan yang begitu baik serta berbahaya melalui situasi bola mati. Jadi, Pulau Pinang akan ambil serius dalam perlawanan Selasa ini dan sama sekali tidak akan pandang rendah kemampuan Perak,” katanya.

Tiga pemain, Faiz Subri, Fauzan Dzulkifli dan Brent Griffiths terus diulit kecederaan dan khidmat mereka dijangka tidak dapat digunakan bagi berdepan Perak.

Pemain muda seperti S. Kumaahran yang menjaringkan salah satu gol ketika bertemu PDRM dijangka akan terus dipertaruhkan bersama Mohd. Faizat Ghazli untuk menggempur kubu lawan.

Print