Risau Momentum Hilang…

Masih ramai penyokong Pulau Pinang bercerita kejayaan skuad kesayangan mereka membuat kejutan 4-1 ke atas juara bertahan, Pahang pada aksi di Stadium Bandaraya, 26 September lalu.

Tatkala mereka mengharap momentum kemenangan bertemu Pahang diteruskan dengan menentang PKNS, harapan itu tidak kesampaian bila perlawanan pada 3 Oktober lalu ditunda ekoran jerebu.

Justeru, Pulau Pinang seperti kebanyakan pasukan lain tidak dapat beraksi dalam sebarang perlawanan selama tiga minggu dan itu jelas undang sedikit kerisauan penolong jurulatih, Manzoor Azwira.

Ditambah berdepan PDRM yang masih memburu kemenangan sulung dalam Piala Malaysia musim ini, Manzoor menegaskan pemain perlu kekalkan semangat mereka selepas kalahkan Pahang tempoh hari.

” Mood dalam pasukan memang berbeza bila kita menang selesa dengan Pahang bulan lalu dan saya rasa kita boleh raih tiga mata penuh dengan PKNS jika aksi tidak ditangguh.

” Kini saya sedikit bimbang kerana sudah tiga minggu mereka tidak bermain dalam sebarang perlawanan, semangat mereka akan luntur.

” Bagaimanapun, dalam sesi latihan saya nampak mereka masih kekal pamer aksi bersungguh-sungguh dan harap ia akan dibawa dalam perlawanan,” katanya.

Turun bertemu PDRM buat kali terakhir di Stadium Bandaraya di peringkat kumpulan, Manzoor tegaskan tiga mata wajib dipungut oleh Pulau Pinang.

Mempunyai dua lagi perlawanan di tempat lawan, dia optimis dua slot teratas Kumpulan D mampu jadi milik mereka.

” Memang kami harap perlawanan dengan PDRM di Stadium Bandaraya tidak akan jadi aksi terakhir musim ini kerana mahu ke suku akhir.

” Jika kami mampu cuba dapat dua kemenangan daripada tiga aksi sedia ada, peluang kami cukup cerah,” katanya.

Manzoor juga berteka-teki terhadap siapa penjaga gol nombor satu Pulau Pinang buat masa ini selepas Sani Anuar Kamsani sudah cergas sepenuhnya.

Melihat Remezey Che Ros kembali memperagakan persembahan cemerlang ketika mengekang Pahang, dia akui jurulatih, Jacksen F. Tiago sukar buat keputusan.

” Dalam sesi latihan, Sani sudah berjaya dapatkan sentuhannya dan ini satu cabaran bagi Remezey yang mahu kekal selaku penjaga gol nombor satu.

” Buat masa ini, peluang terbuka kepada mereka berdua dan susah nak ditentukan siapa akan tambat hati Jacksen, ” katanya.

Print