Saya dah geram nak turun! – Azrul Ahmad

Azrul Ahmad

Sudah dua bulan tidak dapat turun beraksi, ketiadaan Azrul Ahmad atau lebih dikenali dengan ‘Cipeng’ dalam kalangan peminat cukup dirasai oleh pasukan.

Cukup berpengaruh di bahagian tengah, kerajinan pemain berusia 31 tahun ini sentiasa membantu barisan pertahanan dan melincirkan Matias Cordoba mengatur serangan.

Dia yang disahkan mendapat koyakan di bahagian otot, dijangka hanya boleh diturunkan berdepan Felda United pada 18 Mei ini.

Situasi itu nyata membuatkan Azrul merasa cukup terkilan dan mengakui sudah geram mahu turun membantu pasukannya selepas terperosok di tangga kedua terakhir Liga Super.

DSC_0165“Sedih sangat apabila tidak dapat membantu pasukan ketika kami semua dalam situasi sangat kritikal untuk melayakkan diri ke Piala Malaysia. Ikutkan hati, saya mahu sahaja turun beraksi untuk tolong rakan-rakan kerana kami amat memerlukan mata dalam dua aksi terakhir ini.. rasa geram sangat-sangat..!

Namun, apakan daya saya kena ikut nasihat fisioterapi selain perlu dapatkan kecergasan kerana sudah terlalu lama tidak turun bermain. Sekarang saya baharu boleh berlari dalam tempoh beberapa hari ini dan harap mampu kembali berada di tahap terbaik untuk perlawanan terakhir menentang Felda di tempat sendiri,” katanya.

Azrul mendapat kecederaan itu semasa pertemuan dengan Perak di Stadium Bandaraya pada 3 Mac lalu yang menyaksikan keputusan seri 1-1. Tidak dapat bersama rakan-rakan di Johor Bahru, Azrul harapkan mereka mampu raih sesuatu di Larkin walaupun tiada sesiapa letak harapan kepada Pulau Pinang raih sesuatu.

“Saya doakan rakan sepasukan mampu membuat kejutan dan berjuang habis-habisan demi nama Pulau Pinang. Peluang kita untuk layak Piala Malaysia masih ada dan jangan sesekali mengalah walaupun keadaan sukar,” katanya.

Print