Saya hanya fikirkan Pulau Pinang – Faizat

jbt_3840Hero Pulau Pinang, Mohd. Faizat Ghazli, tidak mahu dianggap wira selepas jaringan tunggalnya pada minit ke-89 memastikan pasukan kekal di saingan Liga Super pada tahun depan. Selepas jaringkan gol yang cukup penting bagi menjamin masa depan Pulau Pinang dalam kancah bola sepak Malaysia, Faizat akui dia hanya fikir mengenai pasukan bila memastikan tiga mata berjaya digenggam oleh Harimau Kumbang.

“Bila saya menjaringkan gol, saya tidak fikirkan mengenai diri saya.. Apa yang saya paling puas hati ialah memberi kegembiraan kepada rakan-rakan, pengurusan dan sudah tentunya penyokong setia Pulau Pinang yang sentiasa setia berada di belakang pasukan.

Saya tidak mahu dilabel sebagai hero sebaliknya semua rakan saya adalah wira di sebalik kejayaan kami kekal dalam saingan Liga Super pada tahun depan. Sekarang, peminat Pulau Pinang wajar merayakan kejayaan ini dan saya harap kami akan melangkah lebih gagah pada tahun depan serta beri cabaran kepada pasukan-pasukan pilihan,” katanya.

Ketika lambaian Liga Perdana seolah-olah sudah melambai Pulau Pinang bila masih terikat seri tanpa jaringan sehingga minit 88, Jafri Firdaus Chew dan Faizat memastikan Stadium Bandaraya bertukar seperti satu pesta. Berpunca hantaran Fitri Omar kepada Jafri, pemain skuad Projek 2017 ini pantas melorongkan hantaran kepada Faizat yang mudah menolak masuk ke dalam gawang yang ternganga.

14708095_1591600410866091_3708618403736091241_nKesudahan penuh epik ini disambut dengan jeritan kegembiraan dan linangan air mata seluruh penyokong Pulau Pinang apabila pengadil, Zulkifli Ahmad meniupkan wisel penamat tiga minit kemudian. Jelas Faizat, mereka sama sekali tidak berputus asa walaupun sebelum itu banyak melepaskan peluang terhidang kerana selagi permainan belum tamat, mereka masih boleh menang ke atas Terengganu.

“Kami memang berjuang bermati-matian untuk pastikan Pulau Pinang menang pada malam ini kerana kami tidak mahu bersaing di Liga Perdana tahun depan. Syukur alhamdulilah, jaringan yang hadir pada minit terakhir menjadi bukti kesungguhan semangat kami sepanjang musim ini. Tambahan sebagai anak jati Pulau Pinang, saya berasa bangga kerana dapat berbakti kepada negeri sendiri… Haria Penang Haria..!,” katanya.

Print