Saya mahu penyokong gembira! – Ranti.

_MG_7034FA_PenangPenyerang baharu Pulau Pinang, Ranti Martins, bagaikan tidak sabar beraksi di hadapan penyokong menjelang aksi pertamanya di Stadium Bandaraya. Setelah meledak dua jaringan penting buat Harimau Kumbang bagi menyalakan kembali obor perjuangan kekal dalam saingan Liga Super pada 2017, Ranti ada satu azam bila bertemu Selangor.

Sebaik perlawanan ditamatkan, dia berazam mahu pastikan seluruh penyokong Pulau Pinang pulang dalam keadaan gembira dan tersenyum dengan wajah kemenangan.

“Agak bagus bermain di tempat sendiri kerana ada sokongan padu yang diberikan peminat dan saya optimis tiga mata mampu dicapai. Kami kalau boleh mahu menang dalam setiap perlawanan di tempat sendiri dan apa yang mustahak, peminat akan rasa gembira dengan keputusan permainan nanti. Moral pasukan selepas menang di Terengganu cukup tinggi dan saya harap akan terus temui sentuhan jaringan bila bermain di sini,” katanya.

Martins sedar reputasi besar selaku penjaring terbanyak Liga India sebanyak lima musim pasti membuatkan ramai peminat menagih sentuhan jaringannya dalam tiap perlawanan. Namun, Ranti harap penyokong faham dia masih dalam tempoh penyesuaian kerana corak permainan yang berbeza di antara kedua-dua buah negara selain cuaca.

_MG_6658FA_Penang“Selepas lalui satu perlawanan, saya nampak banyak perkara berlainan di sini selain cara peminat di sini menyokong pasukan. Biarpun tidak ketara, saya rasa di sini sedikit mencabar terutama menyesuaikan diri dengan cuaca dan budaya bola sepak di sini. Saya akan cuba memenuhi harapan tinggi yang diletakkan oleh pihak pengurusan dan peminat setia Pulau Pinang,” katanya.

Pulau Pinang akan turun tanpa khidmat Mazlizam Muhamad dan Rafiuddin Roddin kerana digantung perlawanan namun jurulatih, Nenad Bacina sudah ada pengganti bersesuaian. Tiga mata di Bandaraya berdepan Selangor pasti mampu melonjakkan Pulau Pinang keluar daripada zon penyingkiran Liga Super.

Print