Sedia Hidang Ramuan Istimewa

Kritikan demi kritikan terhadap ketumpulan jentera serangan Pulau Pinang membuatkan ketua jurulatih, Jacksen F. Tiago bakal membuat rombakan terhadap barisan depan bagi menentang Pahang di Stadium Bandaraya, malam ini.

Dua perlawanan tanpa sebarang jaringan meletakkan peminat Penang Panthers mula bimbang kemampuan skuad kesayangan mereka untuk mengatasi defisit dua gol yang dimiliki Pahang atau sekurang-kurangnya mengejutkan juara bertahan Piala FA itu pada suku akhir kedua.

Justeru, Jacksen sedia menghadirkan satu kejutan tersendiri pada aksi malam ini dalam kesebelasan utama dan meminta peminat-peminat agar sabar menanti apa yang akan berlaku.

Cuma yang menjadi sedikit kebimbangan buat pengendali dari Brazil itu ialah fokus pemain-pemainnya untuk mengekalkan tahap konsentrasi yang sama sepanjang 90 minit permainan.

“Kami ada satu kejutan pada perlawanan hari ini apabila berdepan Pahang namun saya tidak boleh beritahu kepada semua apakah yang saya akan lakukan.

“Jika ditanya mengenai taktikal pasukan, sebenarnya pemain-pemain telah cuba yang terbaik berdasarkan apa yang saya arahkan.

“Namun, masalahnya mereka tidak mampu kekal konsisten dari minit pertama hingga tamat peraminan.

“Mereka sentiasa bermula dengan perlahan pada permulaan permainan dan baharu menunjukkan aksi sebenar mereka di separuh masa kedua, saya harap ini tidak akan terjadi lagi dalam aksi malam ini, ” katanya.

Dalam masa sama, Jacksen mendedahkan pemain pertahanan, Darwira Sazan akan menggantikan peranan Mohd. Redzuan Nawi yang digantung satu perlawanan selaku ketua pasukan.

Suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur pada 7 April lalu menyaksikan Pulau Pinang tewas 2-0 kepada Pahang melalui jaringan Hafiz Kamal pada minit ke-8 dan Dickson Nwakaeme, minit ke-14.

Sementara itu, Redzuan yang tidak dapat bermain malam ini berpesan kepada rakan-rakan sepasukan agar jangan sama sekali berasakan peluang mereka berasa tertutup dengan melakukan yang terbaik demi peminat-peminat Penang Panthers.

Jika tidak layak sekali pun ke separuh akhir, anak jati Seberang Jaya ini berharap Pulau Pinang sekurang-kurangnya mampu mencipta kemenangan ke atas Pahang.

“Dalam bola sepak, tiada istilah putus asa dan saya harap pemain-pemain yang dipilih pada malam ini berjuang lebih 100 peratus demi maruah Pulau Pinang.

“Tidak mustahil defisit dua gol itu mampu kita terbalikkan dan mencipta kejutan bagi menempah tiket ke separuh akhir.

“Andai kata rakan-rakan tidak mampu mengatasi kelebihan dua gol itu, saya tetap berharap mereka mampu melakar kemenangan biarpun tipis sebagai hadiah kepada peminat-peminat yang tidak jemu-jemu menyokong kita, ” katanya.

Pemenang aksi pada hari ini akan bertemu Kelantan di saingan separuh akhir yang dijadualkan pada awal Mei ini.

Print