Segalanya Mungkin Terjadi

Sebelum sepak mula malam ini, Kedah dan T-Team berada dalam keadaan terbaik untuk menamatkan cabaran dua pasukan teratas sebaik Liga Perdana melabuhkan tirai.

Tiada siapa memberikan perhatian kepada Pulau Pinang yang dianggap berada dalam situasi sukar memintas salah satu pasukan tersebut.

Bagaimanapun, harapan buat skuad Pulau Pinang melangkah ke Liga Super sejak 2010 masih ada dan segalanya belum berakhir kerana dalam bola sepak tiada apa yang mustahil.

Ujar jurulatih Pulau Pinang, Jacksen F. Tiago, peluang masih berada dalam kawalan mereka jika menjinakkan UiTM FC malam ini di Stadium Hang Jebat.

“Masih ada satu perlawanan yang kami kena selesaikan dan pemain saya akan berjuang habis-habisan walau apa pun yang terjadi dalam perlawanan lain.

” Kita masih boleh layak, saya cukup optimis kerana bola sepak ini ada kalanya sesuatu yang nampak mustahil, boleh berlaku.

“Sekarang fokus kami hanya memburu tiga mata dan tugas saya hanya pastikan segala-galanya sempurna berdepan UiTM,” katanya.

Satu situasi yang mungkin boleh melegakan sedikit kem Pulau Pinang ialah dua lawan bakal ditemui Kedah dan T-Team masih memburu sesuatu dalam perlawanan terakhir.

Kuantan FA yang menerima undangan T-Team di Stadium Darul Makmur, memburu tiga mata untuk keluar daripada zon penyingkiran.

Manakala DRB Hicom yang menjadi tuan rumah kepada Kedah di Bukit Jalil juga mempunyai hasrat sama kerana hanya memiliki kelebihan dua mata ke atas Kuala Lumpur dan Kuantan.

Namun perkara itu tidak melegakan Jacksen yang menganggap situasi itu bukan satu kelebihan kepada Pulau Pinang.

” Sebenarnya saya rasa kami tidak berada dalam zon selesa kerana UiTM FC yang sudah mengesahkan status di Liga Perdana pasti akan turun menentang kami tanpa tekanan.

“Sedangkan Kuantan dan DRB Hicom, mereka mahukan kemenangan tetapi ia pasti akan mengundang kepada kesilapan jika beraksi bawah tekanan,” katanya.

Print