Segalanya tidak menjadi…

_MG_0249Keputusan yang paling sukar diterima pada musim ini… Mungkin itu rumusan paling tepat di sebalik kekalahan 1-4 Pulau Pinang di tangan Perak pada Rabu lalu, di Stadium Perak, Ipoh.

Ketika momentum pasukan berada di tahap terbaik walaupun aksi terakhir perlihatkan skuad Harimau Kumbang tewas 2-3 kepada Kelantan di Stadium Bandaraya, tumpas dengan kelebihan margin tiga jaringan umpama satu tamparan kepada pemain agar kembali bangun daripada mimpi indah.

Segalanya sudah tidak menjadi buat Pulau Pinang selepas meraih kemenangan berharga di Stadium Negeri, Kuching menentang Sarawak dan kekalahan dua kali berturut-turut letakkan skuad kendalian Nenad Bacina kembali terperosok ke zon penyingkiran.

Salah seorang yang turut merasai kegagalan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Bojan Hodak, yang akui, aksi di Ipoh merupakan aksi terburuk pasukan semenjak dia bersama Pulau Pinang.

Dalam masa sama, dia jujur berasakan Perak nyata sebuah pasukan yang berkualiti walaupun dibarisi ramai pemain muda.

“Kekalahan kepada Perak umpama satu siren kecemasan kepada seluruh pasukan agar kembali bangkit selepas tunjukkan prestasi yang baik dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Ini adalah hari bila segalanya tidak menjadi buat pasukan dan saya sendiri rasa kecewa tengok prestasi kebanyakan pemain bila segala yang dirancang gagal dilakukan di atas padang.

Selain itu, saya kena bersikap jujur bahawa Perak memang pasukan yang baik berbanding kita dan mereka ada ramai pemain muda berbakat. Mujurlah kekalahan ini belum beri kesan besar kepada kita walaupun sudah berada dalam dua zon penyingkiran kerana baki tiga perlawanan akan datang, semua pasukan yang akan ditemui berada dalam kelompok sama dengan kita.

Aksi seterusnya berdepan PDRM akan menjadi hala tuju sebenar kita di musim depan, kita kena menang dan seterusnya mampu terus memintas kedudukan lawan dengan kelebihan satu mata,” katanya.

_MG_3711Bojan juga tidak menolak kemungkinan ketiadaan Sani Anuar Kamsani dan Reinaldo Lobo, sedikit sebanyak berikan banyak masalah di bahagian pertahanan yang mudah ditembusi pihak lawan. Namun, dia enggan menyalahkan pengganti mereka berdua sebagai punca, dia berasakan kualiti pemain yang ada dalam pasukan tidak seimbang antara kesebelasan utama dan simpanan.

Daripada awal sudah saya beritahu, masalah ketara dalam pasukan semenjak hari pertama hadir ke sini ialah orang yang bertanggungjawab membentuk pasukan di awal musim gagal dapatkan pemain yang ada kualiti bermain di Liga Super. Ini sedikit sebanyak memang memberi kesan, tetapi kami akan cuba terus harungi dengan pemain yang dibekalkan, kami masih yakin Pulau Pinang mampu tamatkan cabaran dalam kalangan sepuluh pasukan terbaik,” katanya.

Ketinggalan dengan dua jaringan di babak pertama melalui Kenny Palraj pada minit 28 dan Fazrul Hazli Kadri, pada minit 42, Ranti Martins merapatkan jurang menerusi sepakan penalti yang diambil pada minit 57. Namun,segala harapan untuk bangkit musnah sebaik Perak perolehi dua lagi jaringan pada minit 70 menerusi Muhammad Ridzuan Azly Hussham dan Elias Fernandes, sembilan minit sebelum permainan berakhir.

Print