Sejarah di Jengka.

Fel vs PP

Satu mata yang dibawa pulang dari Stadium Tun Abdul Razak, Jengka tetap bernilai buat pasukan Pulau Pinang walaupun keputusan itu tidak mengubah kedudukan pasukan di tangga tercorot Liga Super.

Mungkin sukar untuk dipercayai namun Pulau Pinang muncul skuad pertama yang berjaya menyekat Felda United di laman sendiri dari mengutip mata penuh ketika pasukan lain seperti Selangor, Kelantan dan Kedah tersungkur di Jengka.

Jurulatih, Manzoor Azwira memuji karakter anak-anak buahnya yang tidak kenal erti putus asa sehingga mereka berjaya menidakkan ramalan awal bahawa Pulau Pinang akan pulang dengan tangan kosong.

Walaupun sedikit kecewa kerana melepaskan jaringan penyamaan kepada Felda United, Manzoor harap keputusan itu menjadi pemangkin semangat bagi mengharungi pusingan kedua Liga Super.

“Kami tetap rasa gembira dengan keputusan ini kerana tiada siapa menjangkakan kami boleh meraih keputusan ini di Jengka. Semua orang tahu Felda cukup kebal di laman sendiri dan tiada siapa berani letak harapan Pulau Pinang mampu sekurang-kurangnya meraih keputusan seri. Namun, pemain tampil dengan perwatakan berbeza di Jengka dan mereka tidak rasa kerugian apa-apa untuk mencuba.

Biarpun ketinggalan di awal permainan, kami tetap bangkit melawan dan akhirnya berjaya meraih dua jaringan, malah satu ketika kami hampir meraih kemenangan. Cuma mungkin rezeki tidak berpihak pada kami apabila membenarkan jaringan oleh Francis Forkey Doe, sembilan minit sebelum habis permainan tetapi satu mata ini cukup berharga,” katanya.

Dalam masa sama, dia tidak mahu menyalahkan pemain bila gagal menyekat Forkey Doe yang meragut peluang keemasan pasukan meraih kemenangan kedua musim ini. Baginya, pemain sudah mencuba sehabis baik di dalam padang dan Felda juga jelas bersemangat tinggi cuba mendapatkan jaringan.

“Ketika lawan ketinggalan satu jaringan, mereka menggempur habis-habisan ke arah kubu kami dan dalam situasi itu, memang apa sahaja boleh berlaku. Mungkin ada sedikit kesilapan daripada pemain yang tidak fokus namun saya tetap memuji prestasi yang mereka tampilkan di Jengka,” katanya.

                   Goal_Lobo    Osas Saha

Felda berada di depan pada minit ketujuh menerusi Ahmad Syamin Yahya sebelum Reinaldo Lobo menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama melalui sepakkan penalti.

Osas Marvelous Ikpefua mengejutkan kem Felda United apabila meletakkan skuad Harimau Kumbang di depan pada minit ke 66′ tetapi Forkey Doe meranapkan impian Pulau Pinang apabila menjaringkan gol penyamaan buat Felda pada minit ke 80′ perlawanan.

Print