Selamat Hari Raya – Presiden FAP

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang(FAP), Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff, mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada pemain, pegawai dan seluruh pencinta bola sepak Pulau Pinang serta berharap keberkatan Syawal ini akan memberikan tuah kepada skuad Penang Panthers dalam merintis laluan ke Liga Super pada musim 2016.

Bakal berdepan perang besar bermula 31 Julai ini sehingga penghujung Ogos depan yang akan menentukan masa depan bola sepak Pulau Pinang, Nazir berharap pemain dan pegawai dapat kembali fokus selepas menyambut perayaan pada hari esok.

Dalam masa sama, beliau mengucapkan jutaan terima kasih tidak berbelah bahagi kepada peminat-peminat bola sepak Pulau Pinang yang sentiasa berada di belakang pasukan sama ada susah atau senang.

“Selaku Presiden FAP, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada  warga bola sepak Malaysia termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pihak pengurusan FAP,  pemain-pemain yang beragama Islam serta seluruh penyokong setia Pulau Pinang.

“Sekiranya sepanjang saya menjalankan tanggungjawab selaku presiden ada membuat salah silap dan ada pihak yang terguris hati atau perasaan, saya meminta maaf 

sempena kita akan menyambut hari raya ini.

“Harap semua pemain dan pengurusan dapat beraya dengan penuh rasa kesyukuran serta kegembiraan kerana selepas ini kita akan berdepan tugas yang lebih besar  iaitu  mengejar misi dua pasukan teratas Liga Perdana bagi merealisasikan impian ke Liga Super 2016.

“Buat para peminat, saya harap teruskanlah sokongan kepada pasukan kesayangan nada seperti biasa dengan turun ke Stadium Bandaraya atau mana-mana gelanggang yang menyaksikan pasukan kita beraksi, terima kasih atas sokongan selama ini, ” katanya.

Dalam isu berlainan, Nazir mengucapkan terima kasih terhadap keprihatinan FAM yang sudi mendengar keluhan FAP yang sebelum ini mencadangkan agar tiada lagi perlawanan diadakan pada bulan Ramadan.

“Apa yang saya suarakan sebelum ini terhadap kemerosotan jumlah penonton pada bulan Ramadan akhirnya didengar oleh FAM dengan mengeluarkan arahan tiada lagi aksi di bulan Ramadan dalam saingan Liga Malaysia pada musim akan datang.

“Sememangnya saya menyambut baik saranan tersebut setelah melihat apa yang terjadi pada perlawanan-perlawanan yang dilangsungkan di bulan yang mulia ini, memang kurang sambutan dan harap FAM mengambil pengajaran dengan apa terjadi, ” katanya.

Mengulas pertemuan Pilihan Malaysia menentang Liverpool pada 24 Julai ini yang turut membabitkan seorang pemain Pulau Pinang, Yong Kuong Yong, beliau berkata, pihaknya tiada sebarang masalah untuk beri kebenaran demi kemajuan karier pemain berkenaan.

“Mengenai pelepasan pemain seperti mana diminta oleh FAM untuk berdepan Liverpool pada 24 Julai, kami di Pulau Pinang tidak berdepan masalah untuk beri kelonggaran kepada Yong Kuong Yong menghadiri sesi latihan yang akan bermula 19 Julai ini.

“Ini merupakan peluang sekali dalam seumur hidup bagi mana-mana pemain kerana bukan mudah untuk mendapat pengalaman beraksi menentang pemain berkelas dunia seperti Liverpool dan kami di FAP tidak mahu menyekat peluang pemain.

“Ditambah hanya satu perlawanan sahaja, saya rasa bukan satu masalah dan harap Yong dapat diturunkan dalam perlawanan berdepan Liverpool, ia pasti akan jadi satu pengalaman berguna buatnya dalam memajukan karier di Pulau Pinang, ” katanya.

Print