Selesa cara Nenad dan Bojan – Mafry Balang

Mafry Balang

Setengah bulan di bawah bimbingan jurulatih baharu, Nenad Bacina di samping bawah pemantauan Bojan Hodak, pemain Pulau Pinang nyata tidak berdepan banyak masalah menyesuaikan diri. Bukan sahaja tentang corak latihan mereka berdua tetapi daripada segi falsafah serta disiplin yang mereka terapkan.

Menurut pertahanan Pulau Pinang, Mafry Balang, seluruh ahli pasukan kini semakin bersemangat sejak menerima angin perubahan daripada Bacina dan Hodak. Paling ketara, pemain semua sudah mempelajari sesuatu yang baharu terutama soal taktikal yang diterapkan oleh mereka berdua.

Buat kami pemain, sesiapa yang bertindak selaku jurulatih, tiada masalah untuk kami menerimanya. Cuma bersama dengan Bojan dan Nenad, memang ada sedikit kelainan pada corak latihan mereka selain tegas dengan semua pemain.

_MG_0726

Banyak juga ilmu baharu yang kami dapat terutama dalam soal taktikal dan kami sekarang berusaha pastikan mampu ikutinya. Malahan sekarang, kami datang setengah jam lebih awal ke padang latihan kerana Bojan dan Nenad akan adakan perbincangan dengan semua pemain terlebih dahulu,” katanya.

Kegagalan beraksi di Piala Malaysia tidak mematahkan semangat Mafry yang anggap ia beri satu hikmah tersendiri kepada Pulau Pinang. Tambahnya itu mungkin peluang terbaik pasukan untuk hanya beri fokus bagi kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Memang pada mulanya rasa kecewa tidak beraksi di Piala Malaysia tetapi kami kena fikir positif. Buat apa beraksi di Piala Malaysia jika kami gagal untuk berada kelompok 10 terbaik di Liga Super.

Bagi saya ini kesempatan terbaik kepada Pulau Pinang ketika pencabar kami terpaksa berdepan jadual yang ketat bagi harungi Piala Malaysia. Mungkin daripada situ kami boleh ambil kesempatan untuk beraksi lebih bertenaga kerana jadual perlawanan yang memihak kepada kami.

Kami kena meraih tiga mata tiap kali turun beraksi di laman sendiri yang mana kami sering kali tewas tiap kali bermain di Bandaraya sebelum ini,” katanya.

Print