Semuanya Masih Terkawal – Manzoor

Awan mendung bagaikan berarak datang ke dalam pasukan Pulau Pinang setelah tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur pada Jumaat lalu dan meletakkan moral pemain-pemain berada di tahap terendah bagi merealisasikan harapan ke Liga Super.

Situasi itu bukan sesuatu yang baik menjelang pertemuan hidup atau mati dengan pasukan teratas Liga Perdana, Kedah di Stadium Darul Aman pada malam ini kerana sebarang keputusan seperti tewas atau seri bermakna, peluang buat Pulau Pinang mengisi dua slot teratas semakin menipis.

Pemain-pemain kini tiada pilihan lain dengan cuba berikan segala-galanya di samping mengetepikan segala permasalahan dalaman yang melanda di dalam pasukan jika mahu mengejutkan Kedah di laman mereka sendiri.

Ujar penolong jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira, keadaan pasukan memang sedikit membimbangkan pada mulanya sebaik tewas kepada Kuala Lumpur kerana kebanyakan pemain seperti hilang keyakinan malah Jacksen F. Tiago merajuk buat seketika apabila sedia mengundur diri.

Namun, bagi jangka masa pendek, segala konflik itu berjaya diatasi dengan Jacksen masih diberi kepercayaan mengendali pasukan menentang Kedah sementara Lee Gil Hoon yang dilanda sedikit kemerosotan prestasi direhatkan buat sementara waktu.

“Selepas kita tewas kepada Kuala Lumpur tempoh hari, angin kurang baik memang melanda pasukan kami dan mereka ternyata amat kecewa kerana boleh kalah dengan pasukan yang berada di tangga ketiga terbawah liga.

“Walaupun begitu, saya nampak kekalahan tempoh hari buatkan pemain tersentak dan ada sedikit perubahan apabila bersungguh-sungguh dalam sesi latihan manakala Jacksen ada merangka beberapa perubahan taktikal.

“Dia (Jacksen) kembali bersemangat untuk melatih pasukan dan saya yakin dia ada sesuatu yang mahu buktikan, insya allah walaupun pasukan berada dalam situasi yang cukup sukar, kami akan bangkit.

“Saya akan membantu Jacksen sedaya yang boleh dan cuba memberikan motivasi sebaik mungkin terhadap pemain-pemain bahawa mereka ada potensi mengalahkan Kedah, ” katanya.

Tambah Manzoor, nasib masih menyebelahi Pulau Pinang walaupun kalah pada perlawanan terakhir kerana dua pasukan teratas, T-Team tewas sementara Kedah sekadar seri yang membuatkan jurang mata tidak terlalu jauh dalam baki enam perlawanan.

“Keputusan pada sebelah malam memang beri kami sedikit kelegaan apabila tahu T-Team tewas sementara Kedah seri, kami seperti diberi peluang kedua dan harapan ke Liga Super masih belum tertutup sepenuhnya.

“Berbaki enam perlawanan, kami kena menang semua perlawanan dan saya harap aksi menentang Kedah akan dijadikan batu loncatan untuk berada dalam kedudukan dua pasukan teratas, ” katanya. 

Print