Sepatutnya boleh menang… – Bacina

JBT_0803_FA Penang_FA PenangBukan tidak mahu merasa gembira dengan pungutan satu mata tetapi pengendali Pulau Pinang, Nenad Bacina merasakan mereka sepatutnya boleh muncul pemenang jika aksi 90 minit dijadikan penilaian. Tidak mengamalkan pendekatan negatif untuk mendapatkan mata, Pulau Pinang seharusnya berbangga kerana mampu menyaingi pendahulu liga itu daripada segenap aspek malah mempamerkan kualiti lebih baik di babak kedua. Tambahnya, kehadiran penonton yang mencecah lebih tiga belas ribu turut menjadi pendorong pemain-pemainnya tampil penuh bersemangat sehingga minit terakhir perlawanan.

_MG_9701_FA Penang  _MG_9739_FA Penang  _MG_9711-2_FA Penang

“Saya memang gembira kerana kita mampu raih satu mata pada perlawanan malam ini tetapi saya rasa semua orang mungkin berkongsi perasaan yang sama dengan saya iaitu, kami patut dapat lebih daripada ini. Jika dibuat perbandingan, kami pamer aksi yang lebih positif dan aktif melakukan serangan daripada sekadar bertahan dalam kawasan sendiri.

Harus diingat, Johor DT sebuah pasukan yang terdiri daripada ramai pemain kebangsaan dan apa yang pemain saya pamerkan hari ini, nyata cukup menggembirakan. Secara keseluruhan, kami pamerkan permainan yang begitu menghiburkan dan banyak mencipta peluang malahan kami berjaya bangkit selepas membuat kesilapan pada gol awal Johor DT,” katanya.

Fokus Bacina kini ialah memastikan kemenangan dalam hadapi baki enam perlawanan yang dilihat cukup penting bagi memastikan misi kekal dalam Liga Super mampu tercapai. Ini kerana semua pasukan yang bakal mereka temui berada dalam kelompok sama dan tiada lagi ruang untuk keciciran mata.

“Semua pasukan yang akan kami temui pada masa akan datang berada dalam kalangan lima ke bawah serta perbezaan mata yang begitu tipis. Terutama bila kami akan bertandang ke Sarawak selepas ini dan ini peluang terbaik Pulau Pinang untuk mendaki carta liga jika mampu raih kemenangan,” katanya.

Dalam masa sama, dia berasakan pengalaman bersama Johor DT sebelum ini beri kelebihan padanya dalam merencana strategi bersesuaian. Jelasnya, dia tahu siapa pemain utama dalam Johor DT yang perlu disekat selain mencari kelemahan dimiliki pasukan lawan.

“Saya pernah bekerja dengan Johor DT sebelum ini dan saya tahu bagaimana gaya permainan mereka. Jika diberikan terlalu banyak ruang, ia pasti beri banyak kesukaran kepada pasukan. Maka, di situlah saya arahkan pemain agar perkukuhkan barisan pertahanan dan memperkemaskan bahagian tengah dalam mencipta peluang supaya kami mampu raih sesuatu,” katanya.

Print