Seri Lebih Baik Daripada Kalah

Malang terus menimpa Pulau Pinang apabila mereka sekali lagi mendapat kad merah dalam aksi  penting sekali gus merencatkan peluang untuk memenangi perlawanan.
Jika sebelum ini Farid Ramli dilayangkan kad merah pada pertengahan babak pertama ketika menentang T-Team di Stadium Bandaraya, kali ini giliran Mat Saiful Muhammad dalam perlawanan yang menyaksikan mereka sekadar seri tanpa jaringan dengan Kedah di Stadium Darul Aman.
Biarpun diasak bertali arus oleh tuan rumah, Pulau Pinang boleh menarik nagas lega apabila gandingan pertahanan Reinaldo Lobo berjaya mempertahankan gawang daripada dibolosi yang membuatkan mereka sekurang-kurangya mampu membawa pulang satu mata berharga.
Jurulatih Pulau Pinang, Jacksen F. Tiago, berasa tetap lega kerana pasukannya tidak tewas memandangkan mereka terpaksa berjuang hampir 50 minit dengan sepuluh pemain walaupun terkilan insiden kad merah sekali lagi menghantui skuad Harimau Kumbang.
“Terus terang saya rasa sedikit kecewa kerana mengapa dalam dua aksi penting yang menjadi penentu peluang kejuaraan liga, kami terpaksa mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain.
“Cuma, saya boleh hamburkan sedikit pujian terhadap pemain yang berjuang lebih 100 peratus selepas ketiadaan Mat Saiful dan rasa lega kerana kami tidak kalah.
“Sekurang-kurangnya kedudukan kami tidak berada terlalu jauh dengan Kedah dan T-Team dalam berbaki lima perlawanan, ” katanya.
Mat Saiful dilayangkan kad merah pada minit ke-37 dan situasi itu memaksa Jacksen terpaksa meletakkan Mafry Balang mengisi posisi pertahanan tengah tetapi pemain yang berasal dari Sabah itu berjaya melakukan tugasannya dengan cemerlang.
Mengulas situasi Pulau Pinang, dia masih percaya masih ada sinar cahaya di penghujung terowong walaupun saingan semakin sengit memandangkan PKNS telah memintas skuad Harimau Kumbang untuk berada di anak tangga ketiga melalui perbezaan jaringan.
“Saya percaya tentang keajaiban dalam bola sepak dan peluang masih ada sekiranya nasib menyebelahi kami di samping mampu memenangi baki lima perlawanan yang ada.
“Bagaimanapun, fokus kami ialah berdepan JDT II terlebih dahulu pada Jumaat ini di Pasir Gudang, kami kena menang pada perlawanan itu bagi memastikan landasan mengejar dua kedudukan teratas masih ada.
“Tanpa Mat Saiful, ia tidak mematahkan semangat kami kerana saya masih ada Mafry dan Yong Kuong Yong yang boleh bermain selaku pertahanan tengah, ” katanya.
Coach