‘Cipeng’ Setia Bersama Pulau Pinang

Terkenal dengan imej bertocang, nama Azrul Ahmad sudah tidak asing lagi bagi penyokong pasukan Pulau Pinang. Bakal berusia 33 tahun pada Mac depan, pemain kelahiran Bukit Mertajam ini yang sudah sinonim dengan panggilan ‘Cipeng’, berasa amat bertuah untuk terus manabur bakti bersama pasukan negeri sendiri. Sudah mula aktif dengan sukan bolasepak sejak dibangku sekolah rendah lagi bermula di Sekolah Kebangsaan Jalan Baru, Perai dan kemudiannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu serta Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Jaya.

Azrul tidak kesal untuk terus serius dalam bidang yang diceburi apabila terpilih untuk mewakili pasukan Piala Presiden Pulau Pinang pada 2003 dan berjaya menjuarai Piala Presiden pada tahun 2004. Berkesempatan untuk beraksi bersama skuad senior Pulau Pinang bermula pada tahun 2004 sehingga tahun 2008 sebelum berkelana ke pasukan Kedah pada 2009, Perlis 2010 dan kemudiannya menyarung jersi Felda United selama 3 musim iaitu pada tahun 2011 hingga 2013. Azrul sempat juga bersama pasukan Angkatan Tentera Malaysia pada tahun 2014 sebelum mengambil keputusan untuk kembali semula ke Pulau Pinang mulai tahun 2015 sehingga sekarang.

Anak ketiga pasangan Ahmad Bin Daut dan Norsiah Binti Noor kini sudahpun memiliki seorang cahayamata perempuan, Laila Nisaa hasil perkongsian hidup bersama isteri, Noordiana Bt Ramli dan selesa menetap di Sungai Dua, Butterworth. Semoga pengalaman luas yang dimiliki oleh Azrul, dapat membimbing pemain-pemain muda serta keseluruhan pasukan Pulau Pinang bagi saingan 100Plus Liga Premier 2018.