Setiap Pasukan Ada Kelemahan

Jika Pulau Pinang berhasrat mahu mengekalkan penguasaan di tangga dua teratas Liga Perdana, hanya kemenangan ke atas Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada malam ini dapat menjamin harapan berkenaan.

Ditambah beraksi di laman sendiri, anak-anak buah Jacksen F. Tiago tidak boleh melepaskan peluang terbaik untuk menjarakkan kedudukan dengan JDT II yang dianggap sebagai pencabar terdekat bagi kejuaraan liga musim ini.

Bagaimanapun, di atas kertas, Penang Panthers pasti berdepan kesukaran menentang skuad yang dikendalikan Goran Paulic itu memandangkan skuad Harimau Selatan itu menjadi pasukan paling banyak menjaringkan gol dalam saingkan Liga Perdana setakat ini dengan 15 gol.

Situasi itu tidak menimbulkan rasa panik buat pengendali, Jacksen F. Tiago kerana falsafah bola sepaknya cukup mudah iaitu sekuat mana pasukan itu sekali pun, pasti ada kelemahan yang boleh dieksploitasi.

Tambah jurulatih berpengalaman dari Brazil itu, dia amat menghormati beberapa pemain JDT II yang dianggap berkualiti tetapi dia merasakan Penang Panthers juga dibekalkan pemain berada dalam kelompok yang sama.

“Tiada sebarang tekanan untuk berdepan JDT II pada hari ini walaupun ramai nampak mereka antara pasukan pilihan untuk muncul juara Liga Perdana musim ini.

“Saya telah melakukan kerja rumah serta persiapan insentif dalam masa tiga minggu ini dan yakin pemain-pemain saya sudah cukup besedia untuk diturunkan berdepan JDT II.

“Memang pasukan ini tampak kuat kerana ada ramai pemain berkualiti tidak kira import atau tempatan namun bagi saya, sekuat mana pun pasukan itu, sudah tentu ada kelemahan..sama juga seperti kita.

“Jadi, saya ada ramuan tersendiri bagi menyekat pasukan JDT II yang saya tidak boleh beritahu dan  jika perancangan saya menjadi, saya optimis tiga mata boleh menjadi milik kita, ” katanya kepada fapenang.my.

JDT II pada musim ini mempunyai sebuah skuad yang mantap dengan membariskan pemain-pemain berprofil tinggi seperti Baihakki Khaizan, Shahril Ishak, Mohd. Faizol Hussien, Zaquan Adha Abdul Radzak dan Kamarul Afiq Kamaruddin.

Selain itu, tonggak import dari Argentina, Leandro Velazquez juga pasti menghadirkan ancaman kepada pertahanan Pulau Pinang yang akan kembali diperkuatkan oleh Reinaldo Lobo selepas terlepas aksi terakhir liga berdepan Kedah.

Selepas bermula garang dengan meraih tiga kemenangan berturut-turut, momentum JDT II tersekat apabila sekadar mencatat satu kekalahan di tangan T-Team, 1-3 dan seri 2-2 berdepan PKNS, dalam dua aksi terakhir mereka.

Namun, seperti mana Pulau Pinang, mereka berjaya menempah laluan ke suku akhir Piala FA apabila menang tipis 1-0 ke atas satu lagi pasukan Liga Perdana, Kedah di Stadium Darul Aman.

Pada malam ini, Pulau Pinang akan turun tanpa penjaga gol yang kini berada di tahap prestasi terbaik, Sani Anuar Kamsani kerana masih belum pulih daripada kecederaan dan Remezey Che Ros dijangka akan diturunkan oleh Jacksen.

“Saya boleh sahkan Sani tidak akan beraksi pada hari perlawanan kerana masih belum cergas sepenuhnya dan Remezey nampaknya akan menjadi pilihan.

“Ini akan menjadi perlawanan rasmi pertama buat Remezey dan saya harap dia dapat tunjukkan prestasi yang baik bagi membantu kemenangan pasukan, ” katanya.

Satu fakta menarik mengenai pertembungan Pulau Pinang dan JDT ialah pertemuan semula Azinee Taib dan See Kok Luen dengan pasukan yang mereka wakili pada musim lalu.

Print

Start a Conversation

Your email address will not be published. Required fields are marked *