Suntikan Dana RM2juta

Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) menerima suntikan dana tambahan RM2 juta daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Penyampaian cek disempurnakan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat PBAPP, Joyce Lee Suan Imm di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff.

11412291_1099538366730279_7158424207165673005_n

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai.

Jurulatih FAP, Jacksen Ferreira Tiago turut sama hadir dalam sidang media tersebut.

11062804_1099538876730228_7595805097623529801_n

Guan Eng berkata pemberian dana sebanyak RM2 juta adalah tepat pada waktunya dan cukup bermakna terutama ketika umat Islam seluruh dunia meraikan bulan Ramadan.

“Diharap sempena kedatangan Ramadan, skuad Pulau Pinang dapat berusaha lebih lagi untuk mencapai sasaran kita iaitu menyertai Liga Super pada musim hadapan.

“Sehingga kini FAP menerima suntikan dana berjumah RM6 juta bagi musim ini dan kita berharap prestasi permainan dipertingkatkan dan memenuhi jangkaan kita, tiada kompromi,” kata beliau.

Sementara itu, Nazir Ariff berjanji akan memantapkan lagi corak permainan skuad Harimau Kumbang bagi menghadapi saingan peringkat kedua musim ini dengan baki perlawanan 12 lagi.

10481591_1099538146730301_1396319624522124809_n

“Saya pasti kebolehan dan pengalaman jurulatih mampu mengemudi skuad kita ke peringkat seterusnya dan berjanji untuk memberi persembahan terbaik ketika menentang lawan.

“Kita mensasarkan kutipan mata antara 32-34 mata untuk saingan peringkat kedua dan berharap jumlah kutipan mata boleh melayakkan skuad Pulau Pinang ke Liga Super tahun depan,” katanya yang turut menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan Kerajaan Negeri dan PBAPP terhadap skuad Harimau Kumbang.

Bagi Jacksen, beliau sedia menggalas tanggungjawab untuk mengemudi skuad Pulau Pinang sebaiknya dan meletakkan sasaran menyertai Liga Super sebagai tunggak utama.

“Pemain (skuad Pulau Pinang) semuanya berada dalam keadaan cergas dan saya pasti mereka mampu memberi yang terbaik malah lebih baik dari perlawanan sebelumnya,” katanya.

Sebagai rekod, dari 10 perlawanan pusingan pertama, skuad Harimau Kumbang berjaya memenangi lima perlawanan, seri empat perlawanan dan kalah sekali.

Skuad Pulau Pinang kini di tangga keempat di belakang Sabah dengan T-Team dan Kedah masing-masing mengungguli tangga pertama dan kedua liga.

Esok skuad Pulau Pinang akan menentang SPA Putrajaya FC di gelanggang lawan dan perlawanan timbal balik dijadualkan pada 22 Jun 2015 ini di Stadium ‘Keramat’ Bandaraya.

11403084_1099538750063574_1952506725085396233_n

Print