Tamat Kemarau Tempat Lawan

Impian menggapai dua tempat teratas sudah berjaya tetapi pengendali Penang Panthers, Jacksen F. Tiago masih belum berasa puas dengan cuba mahu menjadikan Stadium Darul Makmur malam ini sebagai gelanggang sulung skuad Harimau Kumbang menang di tempat lawan.

Sekadar tiga keputusan seri dan satu kekalahan dicatatkan sebelum ini (tidak termasuk menang ke atas SPA Putrajaya di Stadium Bandaraya) apabila beraksi di tempat lawan, Jacksen mengakui rasa geram melihat rekod Pulau Pinang yang kurang baik tiap kali bermain di luar Bandaraya.

“Jika Pulau Pinang beraksi di tempat sendiri, kami paling gah berbanding semua pasukan di Liga Perdana tetapi terbalik bila tengok rekod kami beraksi di tempat lawan.

“Tidak pernah menang dan kami hanya sedikit lebih baik berbanding Kuantan FA, Kuala Lumpur dan SPA Putrajaya, jadi sudah tentu bermula pusingan kedua liga ini saya mahu rekod itu dapat diperbaiki.

“Sebenarnya mereka boleh menang di tempat lawan cuma kadang-kadang sikap itu sahaja tidak ada dan jumlah jaringan kami kurang baik tiap kali di luar, ini sesuatu yang saya gesa pemain perbaiki, ” katanya.

Walaupun begitu, Pulau Pinang akan melakukannya tanpa kelibat perancang import berpengaruh, Lee Gil Hoon, yang terpaksa pulang ke Korea Selatan kerana menyambut kelahiran anak kedua.

Ketiadaan itu bagaimanapun mampu ditampung oleh beberapa pemain tempatan lain seperti Elias Sulaiman, Zharif Hasna atau Syukur Saidin yang membuatkan Jacksen langsung tidak berasa bimbang.

“Hanya Gil Hoon sahaja tidak boleh beraksi pada malam ini kerana baharu sahaja mendapat anak perempuan dan saya tidak berasa terlalu bimbang kerana ini merupakan detik terbaik buat pemain tempatan menunjukkan potensi mereka.

“Saya akan berikan peluang kepada Elias, Zharif atau Syukur untuk bermain, jadi sesiapa pun yang bermain saya rasa mereka mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Gil Hoon, ” katanya.

Tiga mata ke atas Kuantan FA dilihat sebagai satu misi wajib buat Pulau Pinang memandangkan mereka bakal berdepan pendahulu liga, T-Team pada Jumaat depan di Stadium Bandaraya.

Dua pencabar terdekat, Kedah dan Sabah dijangka tidak berdepan sebarang masalah meraih tiga mata pada malam ini apabila berdepan SPA Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Print