Tempang Berdepan `The Wild Cats’

Tempoh rehat selama 40 hari tidak bermakna segala-galanya akan bertambah positif kepada persiapan dan itulah yang terjadi kepada Pulau Pinang yang sedikit tempang bagi berdepan kelab tercorot Liga Perdana, SPA Putrajaya di Stadium Bandaraya, malam ini.

Bukan sahaja mereka sudah pasti akan kehilangan Reinaldo Lobo di bahagian pertahanan ekoran kad kuning namun ketiadaan tiga lagi pemain, Darwira Sazan, Azinee Taib dan Hilton Moreira pasti meresahkan minda pengendali Penang Panthers, Jacksen F. Tiago.

Paling malang sekali ialah ketiadaan Darwira atau dikenali dengan nama Bob dalam kalangan penyokong Pulau Pinang yang kini disahkan tidak boleh bermain sehingga penghujung musim ini disebabkan kakinya patah semasa latihan sekali gus mengulangi kecederaan sama pada tahun lalu.

Sementara itu, Azinee Taib mendapat kecederaan lutut dan belum pasti perlu berehat berapa lama manakala Hilton baharu sahaja dapat turun menjalani latihan yang menjadikan dia hampir pasti tidak akan berada dalam kesebelasan utama pasukan.

Menurut Jacksen, walaupun sudah pasti bimbang dengan ketiadaan beberapa pemain tetapi dia ada pelan tersendiri menampung kekurangan itu selain bersedia kembali meletakkan Yong Kuong Yong di bahagian pertahanan tengah.

“Ketiadaan dua pertahanan tengah iaitu Darwira serta Reinaldo memaksa saya melakukan sesuatu dengan Mat Saiful (Mohamad) sudah pasti akan menjadi taruhan sehingga penghujung musim ini sementara saya masih ada beberapa pilihan lain seperti Yong atau Mafry Balang mampu mengisi posisi berkenaan.

“Tidak timbul soal keletihan buat Yong walaupun dia baharu pulang dari kem pasukan kebangsaan sebaliknya dia menjadi pemain paling cergas memandangkan menjalani latihan instensif bagi membantu Harimau Malaya.

“Ditambah Yong ada pengalaman beraksi di posisi pertahanan tengah, saya nampak dia menjadi calon paling sesuai bermain di situ namun saya akan buat keputusan muktamad beberapa jam sebelum perlawanan, ” katanya.

Sebanyak dua perlawanan persahabatan dilalui Pulau Pinang bagi memastikan pemain berada dalam keadaan terbaik dengan kemenangan 6-2 berjaya dicatatkan ke atas Terengganu tetapi mereka tewas 1-5 di tangan kelab Thailand, Songkhla United.

Pulau Pinang yang berada di tangga keempat Liga Perdana dengan pungutan 19 mata dalam misi wajib mendapatkan tiga mata apabila turun dengan status pasukan pelawat di Stadium Bandaraya ke atas SPA Putrajaya jika berhasrat mahu terus mencabar kejuaraan liga yang kini semakin disaingi T-Team, Kedah dan Sabah.

Menyentuh mengenai SPA Putrajaya, Jacksen sama sekali tidak memandang rendah kemampuan skuad yang dikenali dengan nama `The Wild Cats’ itu semenjak mendapat sentuhan jurulatih berpengalaman, Ken Worden.

“Biarpun mereka di tangga tercorot liga, pasukan ini mula menunjukkan perubahan ketara semenjak dikendalikan jurulatih baharu, ini analisis yang saya dapat tengok daripada video perlawanan terakhir mereka (PKNS 0-0).

“Pemain-pemain import baharu mereka juga berkualiti dan rajin, jadi ini satu amaran kepada seluruh pasukan jangan sama sekali memandang rendah terhadap kualiti yang ada pada SPA Putrajaya, tiada sebarang jaminan kami boleh meraih tiga mata dengan mudah, ” katanya.

SPA Putrajaya yang melakukan rombakan pemain importnya pada pertengahan musim berjaya mendapatkan anak kepada bekas pemain import terkenal, Alistair Edwards iaitu Cameron Edwards selain pemain Rusia, Rod Dyachenko dan pemain Itali, Raffaele Quintieri.

Print