Teruskan perjuangan tanpa Kumaahran dan Mafry…

_mg_5646Menjelang dua lagi baki perlawanan yang cukup penting, skuad Harimau Kumbang merima tamparan hebat apabila penyerang muda, S. Kumaahran perlu berehat selama dua bulan ekoran kecederaan buku lali. Ketiadaan Kumaahran pasti akan dirasai terutama dia dilihat pemain paling konsisten dalam pasukan Pulau Pinang kebelakangan ini di bahagian serangan.

Pulau Pinang bukan sahaja akan kehilangan Kumaahran tetapi juga Mafry Balang selepas mengutip 3 kad kuning dan digantung satu perlawanan. Selain itu, yang memburukkan lagi keadaan, Symaer Kutty Abba yang baharu pulang membantu skuad Bawah 19 Tahun negara di Kejohanan AFF, Hanoi juga tidak dapat beraksi kerana kecederaan hamstring dan dinasihatkan berehat selama dua ke tiga minggu.

Jurulatih pasukan, Nenad Bacina tidak berasa gundah dengan situasi terbabit walaupun akui ketiadaan Kumaahran terutamanya pasti dirasai oleh pasukan dalam pemburuan jaringan menentang Pahang.

“Perkara sebegini adalah satu yang lumrah dalam bola sepak kerana ada kalanya pemain utama mengalami kecederaan yang tidak dijangka. Aksi berdepan Pahang pada Sabtu ini bermakna kami perlu menggunakan pilihan lain yang masih ada dan inilah kegunaan bila kami menyenaraikan 25 pemain dalam satu pasukan. Memang terasa juga dengan ketiadaan Kumaahran kerana dia bukan sahaja menjaringkan gol pada aksi terakhir dengan PDRM tetapi sentiasa cemerlang dalam setiap perlawanan yang diturunkan,” katanya.

_mg_5823Menentang Pahang, Bacina mengingatkan pemain agar tampil dengan prestasi terbaik tanpa memikirkan terlebih dahulu keputusan di akhir perlawanan. Biarpun tidak dinafikan seluruh kem pasukan berada di tahap tertekan kerana memerlukan kemenangan bagi kekal di saingan Liga Super musim depan, Bacina berharap fokus pemain tidak terganggu.

“Saya selalu ingatkan pemain, berikan yang terbaik dahulu di atas padang dan mengenai keputusan, ia akan datang sendiri jika bermain dengan cemerlang. Buat masa ini, nasib masih di dalam tangan kita dan gunakan kesempatan ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

Print