Tidak mahu lagi “SCRIPT” macam musim ini…
Datuk Seri Nazir Ariff

img_0388Pengesahan status Liga Super hanya ketika permainan berbaki dua minit bukan sahaja sesuatu melegakan seluruh peminat bola sepak skuad Harimau Kumbang tetapi orang yang paling boleh tersenyum lebar sudah tentu Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff.

Selepas bertungkus lumus semenjak di awal musim bermula pemecatan bekas jurulatih Jacksen F. Tiago, kempen Pulau Pinang musim ini sekurang-kurangnya dapat diselamatkan dengan berjaya kekal di saingan Liga Super untuk musim 2017. Bagi Presiden FAP, dia tidak mahu perkara sama yang terjadi pada tahun ini kembali berulang di musim 2017 dan harap kualiti pasukan mampu dipermantapkan untuk memberi cabaran kepada pasukan lain.

“Tiga tahun Pulau Pinang kena menunggu perlawanan terakhir liga untuk tahu nasib pasukan… Semasa saya menjadi presiden pada tahun pertama, kita kena tunggu saat akhir sebelum menamatkan kedudukan liga di tangga ketiga. Begitu juga tahun lalu, perlawanan terakhir menyaksikan kita berjaya naik ke Liga Super selepas pencabar utama, T-Team tewas kepada Kuantan FA.

Skrip sama berulang kembali pada tahun ini dan paling buat tidak senang duduk, jaringan kemenangan hanya muncul dua minit sebelum permainan tamat dan kita kekal di Liga Super. Musim depan ada sesuatu yang akan diusahakan dengan rombakan pasti berlaku terutama dalam kalangan pemain, kita juga sedang mengkaji sama ada kedudukan jurulatih sekarang akan dikekalkan atau tidak,” katanya.

Dalam masa sama, dia mengucapkan syabas dan tahniah kepada pemain yang berjuang habis-habisan pada perlawanan terakhir bertemu Terengganu. Tambahnya, dia kagum dengan semangat juang pemain yang tidak kenal erti putus asa walaupun sebelum itu banyak terlepas peluang jaringkan gol.

“Semua peminat bersorak kegembiraan di dalam stadium bila kita berjaya mendapatkan jaringan ketika permainan hampir tamat. Saya sendiri terlalu teruja selepas Faizat menjaringkan gol. Memang saat itu akan kekal sebagai kenangan terindah kepada penyokong dan seluruh pencinta bola sepak Pulau Pinang,” katanya.

Print