Tidak mahu terperam! – Fauzan Dzulkifli

19Banyak habiskan masa di bangku simpanan pada musim lalu di Felda United, Mohd. Fauzan Dzulkifli tidak berfikir panjang bila dapat tawaran ke Pulau Pinang.

Mahu buktikan kembali dirinya disegani seperti mana di PKNS, apa yang mustahak buat Fauzan adalah untuk beraksi lebih kerap atas padang.

Optimis mampu memikat pengendalinya, Jacksen F.Tiago untuk berada dalam kesebelasan utama, dia tidak sabar mahu buka lembaran baharu di Pulau Pinang.

“Tujuan utama datang ke sini ialah untuk bermain dan banyak perkara saya mahu buktikan kepada jurulatih selain peminat.

“Jika saya mampu raih kepercayaan jurulatih, syukur saya ucapkan dan harap mampu beraksi seperti mana beberapa musim lalu.

“Saya bukan sahaja mampu bertindak ‘Defensive Midfielder’ malah boleh bertindak selaku perancang di bahagian tengah,” katanya.

Sementara itu, Fauzan akui tiada rasa sebarang kelainan walaupun sudah lama tidak beraksi mewakili pasukan negeri.9

Lima musim lalu sejak 2011 dia bersama dua kelab, PKNS sebelum berhijrah ke Felda yang diketahui tidak punyai sebahagian besar penyokong fanatik seperti mana skuad negeri.

” Saya tahu budaya pasukan negeri iaitu mereka sentiasa ada penyokong setia di belakang pasukan dan suasana ini saya dah rasakan masa di Selangor pada masa dulu.

“Jadi saya rasa itu bukan satu masalah malah saya lebih gembira merasai kembali pengalaman sebegini,” katanya.

Malahan, Fauzan yang pernah bertindak selaku ketua pasukan ketika di PKNS berikrar mahu bawa nama Pulau Pinang kembali digeruni.

” Tiada sebarang tekanan semasa saya datang ke sini dan berdasarkan maklum balas dengan persatuan, saya rasa pasukan ini mampu bersaing.

” Kita akan cuba bersaing hebat dengan pasukan-pasukan lain walaupun pasukan ini baharu naik Liga Super,” katanya.

Print