Tidak Mustahil Tetapi Sukar

  • PKNS vs PNG

Kemenangan boleh dilakar tetapi sayangnya rezeki tidak berpihak kepada Pulau Pinang untuk membuka kembali laluan ke suku akhir Piala Malaysia.

Jaringan pembukaan Lee Gil Hoon pada minit ke-17 tidak mencukupi untuk berikan tiga mata berharga bila Alif Haikal minit ke 43 memusnahkan hajat  skuad Penang Panthers dengan gol penyamaan.

Satu mata itu sekadar meletakkan Pulau Pinang memintas PDRM di anak tangga ketiga Kumpulan D melalui perbezaan jaringan setelah kedua-dua pasukan kumpul 5 mata.

Kini peluang ke suku akhir tampak cukup sukar walaupun daripada segi matematik, Pulau Pinang masih belum terkeluar.

Memerlukan kemenangan selesa berdepan Pahang pada aksi terakhir, anak-anak buah Jacksen F. Tiago  terpaksa mengharap ihsan PDRM untuk menumpaskan PKNS.

Jacksen tetap yakin dalam bola sepak, keajaiban boleh berlaku dan mereka akan cuba beri fokus pada perlawanan terakhir dengan Pahang.

” Kami memang pernah tewaskan Pahang sebelum ini namun untuk bercakap menewaskan mereka sekali lagi di tempat lawan, kami kena lebih gigih berusaha.

” Saya percaya peluang buat kami masih ada ke suku akhir namun tidak mahu pemain-pemain berada dalam tekanan.

” Apa jua berlaku nanti, saya tetap gembira dengan komitmen dipamer oleh pemain-pemain dalam Piala Malaysia,” katanya.

Akui Pulau Pinang sepatutnya boleh menang dalam perlawanan semalam, Jacksen tidak mahu menyalahkan pemain-pemainnya.

” Berdasarkan percubaan di depan gol, kami ternyata lebih baik berbanding lawan cuma penyudah kami kurang baik.

” Apa-apa pun kami telah melakukan apa yang terdaya untuk memenangi perlawanan dan saya tetap puas hati dengan satu mata ini,” katanya.

Print