Trio Ubah Nasib Pulau Pinang

Seperti dalam filem Hindustan, Pulau Pinang yang satu ketika hampir dimalukan oleh kelab kedua tercorot liga, Kuantan FA, bangkit penuh bergaya dalam tempoh 10 minit terakhir permainan apabila meledak tiga jaringan melalui Alberto Goncalves Da Costa(minit ke-80), Elias Sulaiman(minit ke-89) dan Faiz Subri(minit ke-90).
Tampak kurang bermaya pada awal perlawanan, kehadiran Hilton Moreira di babak pertama sebelum disusuli Elias Sulaiman dan Syukur Saidin pada pertengahan separuh masa kedua, mengubah segala jalan cerita buat Pulau Pinang.
Elias dan Syukur berjaya meningkatkan tempo permainan dan menguasai di bahagian tengah yang menjadi punca kepada jaringan-jaringan yang diperolehi Pulau Pinang sekali gus menjadi kemenangan pertama pasukan di tempat lawan dalam saingan Liga Perdana.
Tanpa berselindung, jurulatih Pulau Pinang, Jacksen F. Tiago, memuji kelibat trio ini yang banyak mengubah nasib Pulau Pinang bagi memastikan mereka masih dalam landasan tepat memburu dua slot teratas Liga Perdana.
“Elias, Hilton dan Syukur memberikan banyak perubahan kepada pasukan, walaupun tanpa Redzuan Nawi, mereka berjaya menghidupkan permainan dengan corak lebih kreatif dan laju.
“Kadang-kadang saya sengaja membuat keputusan sebegini(membuat pertukaran pemain) supaya pasukan dapat beraksi lebih baik bukan hanya untuk 45 minit tetapi sepanjang 90 minit.
“Perubahan formasi yang saya lakukan di separuh masa kedua membuahkan hasil dan beri impak tersendiri, malahan boleh nampak daripada segi fizikal, kami ternyata lebih baik berbanding Kuantan FA.
“Apa-apapun saya memang gembira dengan tiga mata yang dipungut kerana meletakkan kami kekal dalam laluan mengejar T-Team selain cuba mahu menjauhkan diri daripada pasukan lain, ” katanya.
Walaupun menang, Jacksen masih menyuarakan kebimbangan pada fokus pemain-pemain yang sering kali lambat panas pada awal 15 minit permainan sehingga membenarkan Kuantan FA mendahului pada minit ke-11 menerusi Abdul Malik Mat Ariff.
“Kami kena lakukan sesuatu dalam hal ini, tiap kali memulakan permainan, mereka cenderung melepaskan gol kepada pihak lawan terlebih dahulu pada 15 minit awal.
“Hari ini (semalam), mereka sekali lagi tiada konsentrasi dan gagal dalam proses mengawal pemain lawan malahan jaringan Kuantan FA ditanduk oleh pemain yang paling rendah dalam pasukan mereka.
“Segala kelemahan ini kena segera perbaiki dalam latihan akan datang memandangkan T-Team merupakan sebuah lawan yang cukup kuat dalam situasi set-piece(bola mati) dan mereka banyak memperolehi jaringan dalam keadaan tersebut, ” katanya.
Pulau Pinang dijadualkan berdepan T-Team pada 3 Julai ini di Stadium Bandaraya dan tiga mata dilihat wajib dikutip oleh skuad Harimau Kumbang jika mahu mencabar kejuaraan Liga Perdana musim ini.
Print