Tujuh Perlawanan Penentu Masa Depan

Jika hasrat Pulau Pinang untuk beraksi di Liga Super terbantut sekali lagi pada musim ini, kegagalan itu bukan sahaja akan menghampakan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) malah meletakkan siutasi bola sepak negeri itu akan kembali berada dalam keadaan kelam pada masa akan datang.

Bukan tujuan untuk menggertak namun Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff berkata, pihak kerajaan negeri Pulau Pinang kemungkinan akan kehilangan minat membantu perkembangan bola sepak negeri itu selepas puluhan jutaan ringgit dilaburkan semenjak tahun lalu tetapi gagal berikan pulangan setimpal.

Justeru, baki tujuh perlawanan Liga Perdana dimulai menentang Kuala Lumpur, pada hari esok, beliau menggesa jurulatih dan pemain agar fokus dalam usaha memburu 21 mata yang masih ditawarkan bagi memintas kedudukan Kedah dan T-Team untuk berada sekurang-kurangnya di tangga kedua teratas.

“Memang besar harapan saya dan pihak pegawai FAP untuk melihat pasukan negeri ini layak ke saingan Liga Super pada tahun depan kerana jika kami gagal sekali lagi maka susah saya hendak cakap apa akan terjadi selepas ini terhadap bola sepak Pulau Pinang.

“Ada kemungkinan pihak kerajaan negeri yang banyak membantu kita tidak akan membantu lagi FAP jika gagal lagi pada tahun ini dan keadaan itu pasti merumitkan perkembangan bola sepak negeri sekiranya hanya saya serta syarikat korporat lain menggerakkan secara sendirian.

“Bola sepak adalah sebuah sukan yang memerlukan perbelanjaan besar kerana meliputi skuad utama, Piala Presiden, belia dan terbaharu sudah diperkenalkan kejohanan untuk wanita, jadi sokongan kerajaan negeri amat penting kerana mereka memberi sekurang-kurangnya tiga perempat daripada kantung kewangan FAP.

“Harap jurulatih dan seluruh pemain faham serta mengambil serius apa yang saya perkatakan ini bukanlah satu mainan tetapi setiap seorang kena sedar di bahu merekalah yang akan menentukan masa depan bola sepak Pulau Pinang, ” katanya.

Amaran diberikan oleh Presiden FAP berkenaan sememangnya umpama satu mimpi ngeri kepada peminat-peminat setia Pulau Pinang yang  berharap bola sepak negeri itu tidak kembali berada dalam zaman gelap yang menyaksikan mereka beraksi di Liga FAM dalam tempoh beberapa tahun ekoran ketiadaan dana besar.

Namun, berdasarkan pelaburan yang diberikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang serta beberapa syarikat korporat terutama Kumpulan Aspen pada musim ini, Pulau Pinang sememangnya tidak berdepan masalah untuk mengungguli carta Liga Perdana jika dibandingkan dengan kebanyakan pasukan lain selepas berjaya memancing ramai pemain berkaliber.

Situasi itu bagaimanapun ternyata tidak membantu skuad Harimau Kumbang yang ternyata bergelut dengan aksi kurang konsisten sepanjang musim selain sukar mendapatkan kemenangan di aksi tempat lawan.

Dalam isu yang sama, Nazir masih optimis pemain-pemain akan menjelmakan kebangkitan pada baki tujuh permainan terakhir dan mengingatkan mereka agar tidak berharap ihsan pasukan lain bagi meletakkan diri mereka dalam kalangan dua pasukan terbaik Liga Perdana.

“Saya berkesempatan memantau sesi latihan pasukan Pulau Pinang baru-baru ini dan berjumpa dengan Faiz Subri, daripada riak wajahnya dia cukup yakin pasukan mampu berada sekurang-kurangnya di kedudukan naib juara Liga Perdana.

“Yang penting, kita wajib mendapatkan kemenangan tiap kali beraksi di Stadium Bandaraya selain cuba sedaya upaya di tempat lawan dan dalam situasi sekarang mereka kena melakar sesuatu yang dianggap mustahil.

“Jangan berharap kepada keputusan pasukan lain untuk mencapai impian namun kita mesti mencapai kejayaan atas usaha sendiri, harap pasukan ini akan melakar kecemerlangan demi maruah bola sepak Pulau Pinang, ” katanya.

Print