Zainal Abidin Hassan kini Harimau Kumbang.

Zainal Abidin Hassan, bekas jurulatih Selangor sah menjadi ketua jurulatih baharu skuad Harimau Kumbang. Zainal dilantik secara rasmi bagi menggantikan tempat Ashley Westwood yang ditamatkan perkhidmatannya selepas 8 perlawanan Liga Super musim ini.

Ketua jurulatih baharu Harimau Kumbang, Zainal Abidin Hassan berkata akan menggalas tanggungjawab ini dengan sepenuh hati untuk membimbing pasukan sehingga berjaya. “Saya berjanji akan memberikan yang terbaik untuk pasukan dan penyokong Pulau Pinang. Tugasan berat untuk saya, tetapi saya yakin dengan pemain Harimau Kumbang kerana saya mengikuti perkembangan mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, Zainal akan mengenal pasti setiap kelemahan pemain bagi memastikan akan ada rencah baharu yang akan diterapkan dalam skuad Harimau Kumbang. “Saya tidak mempunyai kuasa ‘magic’ tetapi berkebolehan untuk membimbing pasukan dan ianya pasti memerlukan sedikit masa,” katanya.

Presiden FAP, Zairil Khir Johari berkata amat gembira dengan kehadiran Zainal Abidin bersama pasukan yang mempunyai pengalaman yang luas dalam arena bolasepak Malaysia. “Saya yakin pemain Harimau Kumbang memang mempunyai kemahiran dan berkebolehan tetapi memerlukan sedikit motivasi dan inspirasi untuk menentukan hala tuju pemain. Dengan kehadiran Zainal Abidin, saya percaya kita telah menemui ketua jurulatih yang berpengalaman dan mampu memulihkan semangat pemain seterusnya kekal dalam Liga Super untuk musim hadapan,” katanya.

Zainal Abidin Hassan berada di United Kingdom selama tiga bulan, menimba pengalaman bersama Cardiff City. Kerajaan negeri juga mengumumkan dana tambahan sebanyak RM3 juta kepada FAP untuk menyuntik semangat pasukan.

Print